TERAWI – Seramai 40 kanak-kanak telah menerima Sakramen Pembaptisan pada…
COVID-19: Perkongsian belia katolik di perantauan sepanjang PKP, cabaran dan kekuatan
SEJAK novel coronavirus atau COVID-19 mula dikesan di Wuhan, China pada Disember tahun lepas. Wabak coronavirus itu bagaikan tidak mahu berhenti daripada terus membadai dunia. Selepas kira-kira enam bulan ia telah merebak ke lebih 210 negara, menjangkiti kira-kira 1.6 juta orang dan mengorbankan hampir 100,000 nyawa di seluruh dunia.
Malaysia adalah antara negara yang turut menerima badai penyebaran pandemik ini bermula pada Januari dan telah memberikan impak yang sangat besar bukan saja kepada ekonomi negara tetapi melumpuhkan hampir seluruh aktiviti manusia. Sehingga hari ini, Malaysia mencatatkan kes jangkitan sebanyak 6,978 dengan kes kematian 114 orang.
Antara yang mendapat impak atau kesan daripada pandemik ini adalah pelajar IPTA, Kolej dan Universiti yang belajar atau bekerja di Semenanjung. Kita menyaksikan ratusan pelajar/belia yang terkandas sama ada di asrama atau rumah sewa kerana tidak dapat balik kepada keluarga masing-masing selepas sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Mereka bukan saja terkandas tetapi berhadapan dengan pelbagai cabaran dan masalah termasuk tekanan emosi.
Berikut adalah perkongsian daripada beberapa pelajar/belia katolik Sabah yang terkandas di Semenanjung sepanjang PKP. Belia katolik yang berhadapan dengan cabaran dan tekanan ekoran daripada penyebaran wabak pandemik ini. – Christina David
PKP membantu saya menyeimbangkan pekerjaan dunia dengan keperluan rohani saya secara peribadi
Sejak mula bekerja di Batu Pahat, Johor pada bulan Februari tahun ini, saya mengalami satu fasa “peralihan” yang baru dalam kehidupan. Peringkat permulaan sangat mencabar kerana saya perlu menyesuaikan diri di tempat kerja dan bergaul dengan rakan-rakan baharu. Fasa ini memanggil saya untuk lebih berdikari dan komited dengan jalan yang saya pilih.
Genap bekerja selama sebulan, perkara yang saya tidak jangka ialah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020. Dalam proses menyesuaikan diri, saya perlu menghadapi tempoh ini dengan pelbagai cabaran emosi. Selain ingin meningkatkan prestasi pekerjaan dan “bekerja dari rumah”, kerinduan terhadap keluarga dan rakan-rakan yang jauh juga memberi impak kepada emosi saya. Perasaan takut, risau dan sedih kadangkala menjatuhkan motivasi diri saya.
Namun, ada terang dalam setiap kegelapan. Tempoh PKP ini membantu saya menyeimbangkan pekerjaan dunia dengan keperluan rohani saya secara peribadi. Ketenangan dalam waktu sunyi yang saya peroleh di rumah memberi saya kekuatan untuk melihat perjalanan hidup saya dari mata Tuhan dan bukan dari mata emosi saya sendiri. Wujudnya teknologi yang canggih, saya masih dapat berhubung dengan keluarga, rakan-rakan dan memperolehi motivasi rohani daripada Gereja dan kumpulan Religius.
Meskipun jauh daripada keluarga dan rakan-rakan serta kurang aktiviti di luar rumah, Yesus mengingatkan saya bahawa saya tidak sendiri dalam perjalanan ini. Yesus sendiri mengatakan “… Aku pergi, tetapi Aku datang kembali kepadamu…” (Yohanes 14:28). Yesus akan sentiasa menemani kita dalam suka dan duka. Kekuatan utama saya sepanjang PKP ini adalah semestinya pengharapan dan kepercayaan saya terhadap rencana Tuhan yang misteri dan indah!
Bersandarkan kepada kekuatan doa
Saya seorang yang sangat bersemangat apabila menjalankan kerja saya setiap hari sebagai guru tadika di salah sebuah sekolah swasta di Petaling Jaya sehinggalah PKP diumumkan. Seperti yang kita ketahui kawasan Petaling Jaya merupakan salah satu kawasan zon merah di mana jumlah kes jangkitan COVID-19 sentiasa meningkat.
Cabaran dan tekanan dari segi emosi disebabkan oleh kerisauan dan ketakutan yang sangat besar sangat dirasai lebih-lebih lagi berada jauh dari keluarga. Cabaran untuk keluar membeli keperluan asas seperti beras dan sebagainya juga memberi tekanan yang hebat kepada saya secara peribadi. Ini kerana situasi yang berlaku di kawasan tempat tinggal menyebabkan kami takut untuk berada di luar rumah. Selain itu, kerisauan akan kehilangan pekerjaan juga bertambah apabila beberapa buah sekolah swasta yang berdekatan dengan sekolah tempat saya mengajar terpaksa dijual kerana tidak mampu membayar gaji pekerja dan ibu bapa tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah. Kerisauan turut bertambah apabila memikirkan tentang keadaan keluarga di kampung dan tidak dapat berhubung dengan mereka kerana rangkaian internet yang tidak lancar di kampung.
Namun, sebagai seorang katolik saya mendapatkan kekuatan saya sendiri melalui doa. Sepanjang PKP, saya banyak meluangkan masa berdoa, membuat renungan dan berbicara dengan Tuhan secara peribadi. Selain daripada doa peribadi, saya juga sentiasa mengikuti Misa Online bersama rakan serumah saya dan tidak membiarkan diri saya hanyut dengan perasaan yang melemahkan semangat saya. Saya juga sentiasa berhubung dengan rakan-rakan belia katolik yang ada di sini dan itulah yang memberi kekuatan kepada saya. Kami saling berbagi dan mengongsikan cinta kasih Allah melalui aplikasi dan media online.
Syukur dan terima kasih Tuhan kerana meskipun dalam suasana PKP saya masih mampu bekerja melalui online teaching dan dapat berjumpa pelajar-pelajar saya. Have faith in God.
Memberi perhatian kepada hal-hal kerohanian
Sepanjang menghadapi PKP, pelbagai perasaan timbul dalam hati saya. Kebimbangan untuk menghadapi cabaran yang lebih besar membuatkan saya rasa agak tertekan. Saya tinggal menyewa bersama 9 orang kawan dari pelbagai latar belakang, bangsa dan agama. Sebelum PKP, saya bekerja secara sambilan untuk menampung perbelanjaan harian saya dan untuk membayar sewa rumah.
Masalah atau cabaran yang paling besar yang saya dan rakan-rakan serumah lalui adalah masalah kewangan. Mujurlah sebelum ini saya ada menyimpan sedikit kewangan hasil dari kerja sambilan yang saya lakukan sebelum ini. PKP mengajar saya untuk sungguh-sungguh berjimat, saya hanya makan dua kali sehari dengan kuantiti yang sedikit kerana risau kehabisan bekalan makanan dan hanya membeli barang yang betul-betul diperlukan.
Saya bersyukur kerana dalam situasi sukar, masih ada insan-insan dan kumpulan belia katolik yang diketuai oleh Sr Irene yang prihatin terhadap pelajar Sabahan yang terkandas di KL. Kami menerima bantuan berupa barangan makanan asas harian dan ianya sangat membantu kami.
Sepanjang PKP, saya menghabiskan masa saya dengan menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan oleh pihak kolej. Saya juga mula belajar mengatur perbelanjaan dan menyediakan makanan. Berada jauh dari keluarga dalam situasi seperti ini memang satu cabaran yang sangat besar, namun saya bersyukur kerana keluarga saya terutama sekali kakak saya dan rakan-rakan terdekat sentiasa memberikan saya semangat.
Tidak dapat dinafikan bahawa doa adalah sangat penting, sepanjang PKP ini saya juga memberikan perhatian pada hal-hal kerohanian saya. Dan walaupun saya melakukannya bersendirian seperti online mass, rosari kerana kebanyakan rakan serumah saya tidak seagama dengan saya, ianya tidak mengganggu saya secara peribadi kerana berdoa adalah satu kemestian bagi saya.
PKP ini mengajar saya lebih banyak bersyukur dan lebih dekat kepada Tuhan serta mengajar saya bahawa Tuhan tidak pernah meninggalkan kita berseorangan.
Hampir setiap hari mengalami “anxiety attack”
Semuanya menjadi sangat sukar sejak virus COVID-19 merebak di Malaysia dan lebih-lebih lagi ketika PKP dikuatkuasakan. Ramai yang mengatakan, gunakan masa PKP ini untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta, masa untuk lebih banyak berdoa dan membuat renungan peribadi. Namun, bukan semua berpeluang untuk melakukannya terutama sekali pelajar dan mereka yang bekerja jauh dari keluarga.
Dua minggu pertama pelaksanaan PKP, saya masih dapat melalui hari-hari saya, namun apabila masuk minggu yang ketiga dan seterusnya, saya mulai merasakan “mild mental breakdown”. Saya juga mengalami “anxiety attack” hampir setiap hari. Saya sentiasa risau fikirkan tentang keadaan keluarga yang di jauh sana dan macam mana untuk teruskan pengajian sampai ada terfikir untuk tunda pengajian.
Duit poket juga semakin kurang, nasib ada bantuan dari pihak universiti dan kerajaan. Tapi cabaran utama saya adalah dari segi mental sebab setiap hari benda dan situasi sama yang dihadapi. Banyak perkara yang mengganggu fikiran, kebimbangan, ketakutan, kerisauan dan ketidakpastian.
Apa yang menjadi kekuatan saya hanyalah Tuhan Yesus, keluarga saya di kampung dan rakan-rakan serumah. Setiap kali saya merasa tidak boleh melalui hari-hari yang sama, saya kuatkan hati dan ingat Tuhan dan keluarga saja. Saya bersyukur kerana rakan-rakan serumah membawa untuk berdoa rosari setiap hari. Online Mass juga banyak membantu saya dan memberi kekuatan kepada saya biarpun memang sedih betul tidak dapat sambut Ekaristi.
Ramai yg tidak mengerti situasi kami sebagai pelajar di Semenanjung, ramai juga yang mengkritik kami sebagai kluster. Tiada siapa yang tahu bagaimana terseksa dan menderitanya kami di sini dari segi mental sebab itu ramai yang berjuang untuk balik kampung walaupun terpaksa berhadapan dengan risiko yang tinggi.
We never want to be the cluster, but the virus is a virus. It doesn’t choose who is to be affected and who doesn’t. Saya memilih untuk tetap berada di sini sehingga habis semester sebab tahun ini merupakan tahun akhir saya dan saya juga tidak mahu menambahkan beban keluarga. All I can do now is praying and hope to God and thinking how to survive every day.
“Jangan Khuatir akan hidup-Mu, Mat 6:25-34”
Saya merupakan seorang pelajar di salah sebuah IPT di Selangor, namun terkandas di Perlis selama beberapa bulan setelah sesi latihan industri saya dibatalkan sebaik sahaja PKP diumumkan.
Antara cabaran yang saya alami sepanjang tempoh PKP adalah tekanan daripada orang sekeliling yang memaksa saya untuk pulang kampung (Sabah). Sejujurnya, dengan kekangan kewangan yang saya alami pada awal PKP, amat besar niat saya untuk pulang ke kampung dan berjumpa dengan ahli keluarga saya. Namun, kerana risau dan tidak mahu membawa risiko, saya kuatkan diri dengan membatalkan niat saya dan bertahan demi keluarga saya.
Sepanjang tempoh PKP, saya berusaha untuk menjimatkan penggunaan duit dengan hanya membeli barang-barang penting seperti keperluan harian dan menyimpan selebihnya untuk membayar sewa rumah. Meskipun masih ramai yang mempersoalkan keputusan saya, saya tetap bertahan dan menyerahkan keluarga, diri dan orang-orang di sekeliling saya kepada Tuhan. Apapun, saya bersyukur kerana keluarga saya berada dalam keadaan yang sihat dan selalu menghiburkan saya sama ada melalui panggilan telefon ataupun video.
Saya juga bersyukur kerana saya diberkati melalui orang-orang yang baik disekeliling, yang tidak putus-putus menyalurkan bantuan dari segi makanan, tempat tinggal dan juga kewangan, yang membuatkan saya dapat bertahan sehingga ke hari ini.
Doa dan sokongan seluarga menjadi kekuatan
Apabila Malaysia mengisytiharkan PKP, saya mula merasakan cabaran terutama dalam kehidupan harian saya. Banyak perkara berubah dalam sekelip mata saja, kawalan pergerakan sangat ketat terutama di kawasan tempat tinggal saya kerana kami sudah masuk dalam zon kuning. Kerisauan, kebimbangan dan ketakutan menyerang bukan saja mempengaruhi emosi tetapi juga mental. Banyak perkara yang tidak pasti dan membuatkan saya sentiasa berada dalam ketakutan pada mulanya.
Selain daripada masalah mendapatkan bekalan makanan seharian, saya juga menghadapi masalah untuk belajar secara online pada awalnya. Cabaran belajar tanpa bersemuka dengan pensyarah memang tidak mudah, saya terpaksa melipatgandakan usaha supaya dapat memenuhi dan menyiapkan semua tugasan-tugasan yang diberikan.
Apa yang membuatkan saya tetap kuat? Itu adalah kerana kehadiran Tuhan Yesus dalam kehidupan saya setiap saat. Keluarga saya terutama ibu dan bapa sentiasa memberikan saya nasihat dan semangat agar tetap kuat dan menyerahkan semua kebimbangan dan ketakutan saya kepada Tuhan melalui doa. Mereka yang sentiasa mengingatkan saya untuk tidak pernah melupakan Tuhan dan meletakkan Tuhan sebagai yang terpenting dalam hidup saya.
Marilah kita sama-sama mendoakan semoga negara kita Malaysia dan seluruh dunia disembuhkan dan dipulihkan dari pendemik ini. #staysafe #stayathome #covid-19
This Post Has 0 Comments