Skip to content

Malaysia Prihatin; jadikan ia realiti dan amalan

KENINGAU: “Memang bukan mudah menanam sikap prihatin … Hanya dengan adanya rasa kekitaan, kita rakyat akan merasa aman dan ambil peduli terhadap kebajikan sesama, pendek kata prihatin dan rela turut serta dalam usahausaha membangun masyarakat dan negara untuk kebaikan bersama,” kata Uskup Cornelius Piong dalam perutusan Hari Malaysia ke-58 yang bakal dirayakan pada 16 September 2021.

Selain itu, prelatus itu juga mengangkat isu alam ciptaan Tuhan agar umat lebih menghargai, memulihkan dan berhenti menyeleweng sumber bumi secara berlebihan atau tamak.

“Selama kita hidup di bumi ini bersama sesama dan alam ciptaan Tuhan, kita akan diadili sejauh mana kita prihatin dan taat menjalankan tanggungjawab kita,” tegas Uskup Cornelius.

Berikut merupakan perutusan penuh Hari Malaysia ke-58 Uskup Cornelius Piong:

SELAMAT menyambut Hari Kebangsaan Malaysia ke-58 tahun dengan semangat prihatin.

Tema yang digunakan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia pada tahun ini malah sejak tahun lalu lagi, iaitu “Malaysia Prihatin” amat bertepatan. Tentu kita setuju dengan tema prihatin ini lebih-lebih dalam masa pandemik COVID-19 untuk kita hayati dan amalkan dalam hidup kita seharihari sebagai rakyat Malaysia yang terdiri dari berbilang kaum, budaya, bangsa dan agama.

Bagaimana kita selaku umat Kristus dan rakyat Malaysia menjadikan slogan “Malaysia Prihatin” ini suatu realiti dan amalan dalam hidup kita sehari-hari? Tentu kita menyedari bahawa pembentukan asas sahsiah setiap kita manusia bermula dalam keluarga. Ibu Bapa adalah guru dan pendidik utama dan pertama bagi kanak-kanak supaya budaya prihatin ditanam pada hati mereka bermula dalam keluarga sejak dari awal agar diterap dalam konteks hidup bermasyarakat dalam negara Malaysia yang majmuk.

Untuk dapat menbentuk dan membangun bangsa Malaysia prihatin, adalah menjadi tanggungjawab kita para pelayan umat, para pemimpin masyarakat dan para pemimpin politik supaya membangun umat dan masyarakat berlandaskan kepada sikap dan tauladan yang boleh dicontohi.

Sebagai rakyat Malaysia kita perlu menanam semangat bangga terhadap identiti kita sebagai bangsa Malaysia yang berbilang kaum, budaya dan agama namun tetap menghormati dan menerima satu sama lain sebagaimana adanya. Kita bangga hidup dalam sebuah negara yang kita panggil Malaysia walaupun berbagai kaum, keturunan dan agama.

Supaya pada kita rakyat ada rasa ‘sense of belonging’ atau kekitaan terhadap negara ini, adalah penting supaya para pemimpin politik berusaha menyemai suasana aman serta meyakinkan pada rakyat untuk hidup bersama saling menghormati dan menerima satu sama lain tanpa sikap prejudis terhadap kaum dan bangsa lain. Prihatin dalam mengagihkan kekayaan negara dengan adil dan saksama kepada semua negeri dalam persekutuan Malaysia, lebih-lebih terhadap negeri-negeri yang sangat memerlukan.

Memang bukan mudah menanam sikap prihatin, semangat muhibah dan kekitaan dalam sebuah negara yang majmuk, kerana kuatnya sikap ego, budaya pentingkan diri sendiri dan sikap ‘apa untung bagi saya?’ Namun jika kita rakyat, khususnya para pemimpin tidak prihatin dan tidak ambil peduli terhadap kebajikan seluruh rakyat dengan adil dan saksama sudah pasti perasaan tidak puas sentiasa akan menghantui generasi akan datang sampai bila-bila. Hanya dengan adanya rasa kekitaan, kita rakyat akan merasa aman dan ambil peduli terhadap kebajikan sesama, pendek kata prihatin dan rela turut serta dalam usaha-usaha membangun masyarakat dan negara untuk kebaikan bersama.

Selain kebajikan rakyat yang perlu diambil perhatian, sejauh mana keprihatinan kita terhadap kebajikan alam ciptaan Tuhan? Perubahan iklim dan pemanasan global makin hari semakin teruk. Akibatnya bencana alam yang hebat melanda bukan saja di luar negara tetapi di negera kita sendiri. Apakah kita prihatin dan sedar bahawa bumi ini adalah tempat kediaman dan rumah kita bersama? Apakah kita peka dan turut serta dalam menjayakan kempen-kempen melindungi bumi kita ini dari kebinasaan? Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita perlu menyedari bahawa selama kita hidup di bumi ini, kita semua mempunyai misi menyumbang dan memperjuangkan semangat dan suasana harmoni antara kita rakyat dan alam ciptaan Tuhan.

Saudara saudari bangsa Malaysia prihatin, tentu kita tidak lupa bahawa setiap kita manusia hidup hanya sementara sahaja. Kita dicipta oleh Tuhan Pencipta dan akan kembali kepada Dia yang mencipta kita. Selama kita hidup di bumi ini bersama sesama kita manusia dan alam ciptaan Tuhan, kita akan diadili sejauh mana kita prihatin dan taat menjalankan tanggungjawab kita terhadap kebajikan negara, rakyat dan alam ciptaan Tuhan yang diamanahkan kepada kita untuk dijaga dan dikelola dengan cermat, adil dan bijaksana. Semoga Tema “Malaysia Prihatin” dalam menyambut Perayaan Hari Kebangsaan kali ini memberi kita kesedaran, motivasi dan kemampuan untuk sentiasa prihatin terhadap satu sama lain dan terhadap alam ciptaan Tuhan. Selamat Hari Kebangsaan ke-58.

+Bishop Datuk Cornelius Piong
8 September 2021

SOURCE: Herald Malaysia Online

READ this message in English

This Post Has One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top