skip to Main Content
Hari Komunikasi Sedunia 2020: Menjadi ‘Mikrofon’ Tuhan

Hari Komunikasi Sedunia 2020: Menjadi ‘Mikrofon’ Tuhan

Ramai umat yang melayani sebagai ‘mikrofon’ Tuhan di ladangNya. Iaitu membawa suara dan mesej Tuhan untuk disebarkan secara meluas kepada ramai umat Tuhan di luar sana. Setiap pelayan Tuhan ini mempunyai cerita yang berbeza namun semua dipanggil Tuhan untuk misi yang sama – memberitakan Khabar Gembira. Sempena Hari Komunikasi Sedunia 2020, kita dengarkan apa kata mereka yang bekerja di sebalik tabir komunikasi di dalam gereja.

Johannes Jimmy, SOCCOM Paroki St Michael, Penampang

Apabila Komiti Komunikasi Sosial diwujudkan sejak beberapa tahun lalu di paroki, saya telah dipilih sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa yang pertama untuk menggalas tanggungjawab ini, ianya seolah-olah sesuatu yang sangat mustahil untuk dilaksanakan terutama sekali apabila saya mengetahui skop tugasan penyampaian maklumat yang sangat luas.

Saya menyedari, walaupun isu kebatasan diri sentiasa menghantui saya tetapi  atas dasar ‘conscience’ iman peribadi ditambah dengan sokongan paderi paroki, pengerusi Soccom dan semua ahli jawatankuasa di paroki, perlahan-lahan saya menemui rentak pelayanan.

Mulanya melalui kursus asas kewartawanan, videografi dan lain-lain lagi. Pada mulanya, saya cuba berjinak dahulu dengan hanya mengambil gambar dalam setiap aktiviti gereja yang mampu saya hadiri. Keadaan pada mulanya sangat kucar-kacir dan sentiasa dengan tabiat segan.    

Daripada gambar-gambar yang diambil, saya menyedari dengan mengongsikan gambar aktiviti sahaja melalui corong media sosial gereja seperti Facebook dan Whatsapp, ia dapat menyampaikan maklumat dan mendapat sambutan daripada umat di luar sana.

Saya sebenarnya tidak berminat langsung dengan penulisan artikel, tetapi setelah menghadiri kursus asas kewartawanan yang dianjurkan oleh Komisi SOCCOM Diosis Agung, ia membantu saya memperolehi idea yang sangat berharga tentang teknik penulisan. Dengan sokongan editor dan rakan penulis di Catholic Sabah, saya berasa sangat bersyukur kerana setiap artikel yang dihantar sentiasa diterima dan dipamerkan melalui penyuntingan profesional serta galakan mereka.     

Kini di paroki kami, atas dorongan dan sokongan paderi paroki Fr Wilfred Atin melalui pengerusi SOCCOM, Katekis Lewis Juit, kami sedar akan kepentingan peranan kami untuk ‘Menjadi Mikrofon Tuhan’. Apatah lagi dalam suasana kebatasan kontak fizikal akibat penularan COVID-19 yang membataskan fungsi gereja.

Tetapi dengan kemajuan teknologi yang ada sekarang, ia memudahkan penyampaian fungsi gereja seperti Misa Kudus melalui ‘live streaming, Berita Pastoral melalui laman web paroki sendiri, penyampaian maklumat melalui video di corong Youtube  dan lain-lain lagi.

Rogena Sining, SOCCOM Katedral Paroki St Mary’s, Sandakan

Shalom, saya seorang yang sangat mengambil berat akan kebersihan dan keindahan alam sekitar. Untuk ‘menjadi mikrofon Tuhan’, saya selalu memperingatkan keluarga dan kawan-kawan saya agar memastikan persekitaran sentiasa bersih dan ‘zero’ sampah. Saya juga telah membawa kawan-kawan saya melakukan aktiviti kitar semula sebagai sahutan dan sokongan terhadap seruan Bapa Suci Francis dalam karyanya Laudato Si’.

Salah satu aktiviti yang kami laksanakan ialah “ecobricks” iaitu mengitar semula bahan-bahan berasaskan plastik. Tuhan telah memberikan sebuah bumi yang bersih kepada kita semua, dengan itu, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga keindahan ciptaanNya. Walau sekecil apapun usaha kita, namun saya percaya Tuhan tidak pernah tidur dalam membantu umatnya. Saya berharap agar inisiatif ini tidak disia-siakan dan dapat diteruskan oleh anak cucu kita. Amen!

Erica T. Egtopen, SOCCOM Paroki St John, Tuaran

Saya sangat bersyukur kepada Tuhan kerana diberi kesempatan ini untuk membuat perkongsian sempena Sambutan‘World Communications Day’. Pada awal penglibatan saya dalam pelayanan di gereja Paroki St John Tuaran, satu cabaran telah saya terima daripada Paderi Paroki Fr Nicholas Stephen pada tahun 2011, semasa retreat selepas dibaptis di Bundu Tuhan. Kata-kata Fr Nicholas pada masa itu masih segar dalam ingatan saya, “Saya cabar kamu baptisan baru untuk melayani dalam gereja selama satu tahun”. Inilah kata-kata yang telah membuat saya terpanggil untuk melayani dalam gereja.

Saya adalah seorang yang kurang keyakinan dalam diri dan sangat penakut untuk melakukan sesuatu di hadapan khalayak ramai, apalagi untuk melayani, dan untuk bersaksi demi Tuhan adalah sangat jauh dari peribadi asal saya. Tapi itulah rencana Tuhan tiada siapa pun dapat bayangkan.

Pada awal penglibatan saya dalam pelayanan di Ladang Tuhan adalah Rosari rumah ke rumah di KPUK dan seterusnya menjadi warden di dalam Misa Kudus, Liga Wanita, SOCCOM, pembimbing PMG dan  Pelayan Komuni Tak Lazim.

Pada awal pelayanan saya dalam SOCCOM bukanlah sesuatu yang serius. Pada masa itu saya hanya suka-suka mengambil gambar dengan kamera sendiri di setiap perayaan besar dalam gereja. Pada tahun 2014, gereja kami merayakan sambutan Pesta Santo Penaung Gereja St John. Pada waktu itu saya hadir ke Misa sebagai warden dan sudah semestinya saya tidak membawa kamera saya. Tetapi apabila Fr Nick tiba di gereja, dia memberitahu salah seorang warden agar saya harus mengambil gambar dalam upacara Misa Kudus hari itu. Saya dengan agak kelam kabut menelefon suami saya untuk menghantar kamera saya ke gereja. Syukur saya sempat mengambil gambar dari mula sehingga Misa selesai.

Pada tahun 2015 saya telah dijemput untuk pertama kalinya bagi mewakili Paroki St John Tuaran ke Kursus Asas Kewartawanan di paroki Stella Maris Tanjung Aru anjuran SOCCOM Diosis Agung KK. Kursus itu berkaitan dengan penulisan artikel untuk Catholic Sabah yang sememangnya bukanlah bidang saya. Yang saya tahu cuma ambil gambar sahaja, walaubagaimanapun saya menyertai kursus itu sehingga selesai yang diadakan selama dua hari. Ia adalah sesuatu yang baru bagi saya dan dari situlah timbul lagi satu semangat baru dalam diri saya untuk mencuba sesuatu yang baru dalam pelayanan.

Christina David, Catholic Sabah

Shallom. Saya seorang yg suka berkongsi cerita terutama pengalaman hidup.  Bagi saya, dengan berkongsi pengalaman kepada orang lain, saya bukan saja membawa diri saya untuk melihat dan merenung perjalanan hidup saya sendiri tetapi juga membantu orang lain dalam perjalanan ini.

Saya melibatkan diri sebagai Pembimbing Pelajar Sekolah Minggu selama hampir 15 tahun. Saya berusaha menjadi ‘mikrofon’ Tuhan dengan cara mengongsikan cintakasih Tuhan kepada mereka. Melayani sebagai pembimbing memberikan saya semangat dan kegembiraan yang sukar diungkapkan. Hari Ahad adalah hari yang sentiasa saya nantikan untuk bersama-sama dengan pelajar saya.

Walaupun dalam situasi yang sukar sekarang ini, namun saya berusaha untuk melakukan sesuatu supaya pembelajaran pelajar PMG tetap diteruskan.

Didiroy Joneh, Pengerusi Komisi Komsos Keuskupan Keningau

Salam damai Kristus! Di awal penglibatan saya sebagai seorang pelayan media, saya merupakan seorang penulis bebas akhbar di Sabah, namun saya sedar bahawa penulisan duniawi sangat berbeza dangan penulisan dalam gereja, lebih-lebih dalam dunia yg mencabar ini.

“Menjadi Mikrofon Tuhan” adalah suatu ungkapan dimana kita memberitakan kebenaran dangan tindakan yakni seperti Yesus itu adalah jalan kebenaran dan hidup.

Saya amat sedih melihat ramai umat yang selalu lebih cenderung berpaut kepada cerita palsu berbanding mengetahui kebenaran!

Namun syukur puji Tuhan di musim PKP ini umat di Keuskupan Keningau semakin sedar dan menerima serta menggunapakai peranan KOMSOS sebagai saluran media yang memberitakan kebenaran tanpa cacat dan kepentingan sesiapa.

“Jika media massa tercemar dengan berita palsu dan kepura-puraan, begitu juga dengan dunia kita, alam ciptaan Tuhan yang tercemar dan perlu rawatan, janganlah kita menjadi orang-orang farisi di tengah-tengah umat manusia.” Jadilah agen kebenaran kerana upahmu besar di syurga!

Caterine Musa, Catholic Sabah

Salam damai dalam Kasih Yesus. Syukur dan puji Tuhan kerana dapat berkongsi tentang ‘Menjadi Mikrofon Tuhan’ di mana saya dapat memperjuangkan tindakan saya dengan cara penulisan dan mengajar. Saya gunakan Catholic Sabah dalam ruangan Kanak-kanak dan kelas Pertemuan Minggu Gembira untuk mengongsikan dan menyebarkan khabar gembira Yesus kepada kanak-kanak.

Dengan cara ini saya dapat bercerita mengenai kehidupan Yesus yang penuh cinta kasih, maha pemurah dan berbelas kasih melalui petikan-petikan dalam Alkitab serta dapat mengajar kanak-kanak dalam kelas PMG berdoa, memuji Tuhan dalam lagu rohani.

Memang banyak cabaran untuk mendampingi dan membina kanak-kanak dalam iman pada masa kini, dengan pengaruh permainan video dan pelbagai lagi. Namun saya berusaha untuk dapat membawa kanak-kanak dalam perkembangan iman melalui rajin membaca petikan-petikan Alkitab, berdoa bersama keluarga dan menonton cerita-cerita rohani bersama keluarga, lebih-lebih lagi dalam masa keadaan Perintah Kawalan Pergerakan. 

Lily Akau, Catholic Sabah

Sempena dengan Hari Komunikasi Sedunia yang berkaitan dengan “Menjadi Mikrofon Tuhan”, sebenarnya kita diwajibkan menjadi mikrofon Tuhan setiap detik dalam kehidupan kita.

Saya sebagai staf Catholic Sabah, menjadi mikforon Tuhan dalam bentuk penulisan dan menyebarkan berita-berita baik dari umat kepada umat yang lain melalui akhbar Catholic Sabah. Selain itu, saya salah satu pengguna Facebook di mana kita dapat banyak informasi yang bermanfaat.

Memasuki tahun 2020, langsung tidak terbayang sebelum ini di mana manusia diwajibkan mempraktis penjarakan sosial bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Pada pertengahan Mac, seluruh rakyat di Malaysia dimestikan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dalam masa ini yang hanya boleh bergerak di dalam rumah, orang Katolik hanya dapat mengikuti Misa Mingguan melalui media online streaming atau Youtube. Kami sekeluarga juga setia menggunakan Facebook sebagai media. Tidak dapat dibayangkan jika tidak ada semua itu.

Di masa yang sama, saya sekali lagi menampilkan diri menjadi mikrofon Tuhan dengan mengajak keluarga saya membersihkan seluruh rumah dan kawasan rumah di mana kami mengasingkan barang-barang buangan untuk dikitar semula.

Sungguh berkesan! Melalui tindakan kitar semula kami yang bermula di rumah, kami menghasilkan banyak ‘ecobricks’. Saya berharap ianya akan berterusan dan menjadikan sikap yang cintakan kebersihan alam sekitar dalam keluarga saya.

IN CONJUNCTION WITH THE 54TH WORLD COMMUNICATIONS DAY READ ALSO THE FOLLOWING ARTICLES:

This Post Has 3 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top