TERAWI – Seramai 40 kanak-kanak telah menerima Sakramen Pembaptisan pada…
Keuskupan Sandakan kerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk disinfeksi pejabat dan gereja
SANDAKAN – Sebagai langkah berjaga-jaga dan mencegah penularan wabak COVID-19 serta mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Kerajaan Malaysia, pihak Gereja Katolik juga menyokong penuh usaha tersebut agar rantaian jangkitan dapat diputuskan. Oleh itu, pejabat-pejabat keagamaan Gereja Katolik serta tempat-tempat beribadah di Keuskupan Sandakan telah ditutup dan dihentikan operasinya buat sementara waktu.
Pegawai daripada Jabatan Kesihatan telah menghubungi pihak gereja pada 10 April 2020 lalu untuk mengarahkan bahawa disinfeksi perlu dilakukan. Uskup Julius Dusin Gitom dari Keuskupan Sandakan menghargai usaha pihak kerajaan untuk memastikan bahawa semua tempat-tempat dinyahkuman. Maka dengan itu, pihak gereja patuh kepada arahan tersebut.
Pusat Pastoral Keuskupan Sandakan telah dinyahkuman pada 14 April yang lalu. Uskup sendiri bersama dengan Paderi Paroki Katedral St Mary, Fr David Garaman, Seminarian Edward Yahan dan Ryan Tokan serta staf pusat pastoral turun padang untuk membantu menyahkuman seluruh bangunan tersebut.
Manakala, Katedral St Mary pula telah dinyahkuman pada 27 April. Diakon Stephen Esguerra dan Religius Sister membantu mereka agar kerja-kerja menyahkuman dapat dilakukan secara menyeluruh dan pantas.
Seperti yang telah disarankan dan diarahkan oleh Jabatan Kesihatan, semua pejabat gereja serta tempat beribadah haruslah dinyahkuman sebanyak dua kali. Kerja-kerja nyahkuman hendaklah dilakukan sekali lagi sebelum tempat-tempat ini beroperasi atau dibuka semula iaitu selepas tamat PKP.
Bapa Uskup Julius dan Fr David berterima kasih kepada semua yang membantu dalam kerja-kerja menyahkuman dengan harapan tempat-tempat tersebut bebas daripada virus, bakteria dan kuman lain agar selamat digunakan semula oleh mereka, para staf dan umat Gereja Katolik.
Mereka juga menyeru kepada semua umat untuk terus mematuhi PKP dan tekun berdoa bagi diri sendiri, ahli keluarga serta semua orang di seluruh dunia, agar penularan wabak ini akhirnya dapat dikawal. – DOSPO
This Post Has 0 Comments