Skip to content

Tuhan memanggil saya dalam kehidupan saya yang biasa – oleh Sr M.Joan Michael Fsic

Saya pasti setiap orang dipanggil dengan cara yang berbeza. Bagi saya sendiri, tidak ada keganjilan yang berlaku ketika Tuhan memanggil saya untuk cara hidup ini. Tidak ada penglihatan dan tidak ada suara-suara aneh yang saya dengar.  Tuhan memanggil saya dengan cara yang begitu biasa sekali. 

Dalam meneliti panggilan hidup saya sendiri, saya banyak membaca cerita dari Alkitab bagaimana Abraham, Musa, Yesaya, Yeremiah, Bonda Maria, Petrus, Paulus dan ramai lagi yang dipanggil oleh Tuhan untuk misiNya. Malah kemudiannya mendengar cerita bagaimana paderi atau sister yang lain dipanggil untuk melayani dan bagaimana mereka menyahuti panggilan itu. Apa yang sangat nyata Tuhan itu senantiasa memanggil umatNya untuk hidup dalam kekudusan.

“Haro noh kaka rih tulun dii a-alim-alim…om mogigiyon noh kaka rih iso tampat om soira nopo indo kaka yolo dii apatai om hilo noh kaka indo yolo lobongon”.  Inilah cerita nenek saya yang kedengaran seperti satu cerita dongeng bagi saya tetapi telah menimbulkan idea pertama saya untuk kehidupan seperti ‘alim-alim’.

Dalam usia 9 tahun cerita seperti ini sudah menyakinkan saya bahawa mereka itu benar wujud (yang akhirnya kini saya menyedari mereka itulah yang dipanggil Carmelite Sisters) dan membuat saya terfikir dan rindu akan kehidupan seperti itu ‘boleh kah saya menjadi seperti ‘alim-alim’ itu? Setiap kali kami berkumpul bersama di dalam upacara sembahyang minggu, saya juga mendengar orang bercerita tentang Sister (merujuk kepada ‘Blue Sister’ ketika itu), tentang pergolakan, perkembangan gereja masa itu, tentang kerinduan dan harapan mereka untuk dilawati kerana mereka inilah yang masuk ke kampung memberitakan Khabar Gembira.

“Pada waktu itu saya belum mengerti sepenuhnya apa yang mereka perbualkan namun saya turut dapat merasakan kerinduan dan harapan itu”

Walaupun, pada waktu itu saya belum mengerti sepenuhnya apa yang mereka perbualkan namun saya turut dapat merasakan kerinduan dan harapan itu. Mereka tidak pernah sampai ke tempat kami. Saya tidak pernah menemui mereka tetapi setiap kali cuba membayangkan mereka, saya merasa begitu amat damai…dan saya mulai menganggap mereka itu seperti malaikat. Saya dihanyutkan oleh keinginan dan impian saya untuk bertemu mereka…mulai melupakan dan menganggap itu hanya sekadar impian yang tidak akan pernah jadi kenyataan.

Ketika berada di tingkatan 2, niat itu timbul kembali. Namun, saya menganggap itu hanya kerinduan saya untuk selalu ingin dekat dengan Tuhan. Sehingga waktu di tingkatan 4, saya mulai merasakan dorongan yang sangat kuat. Kerinduan untuk hidup rohani membuat saya berusaha meningkatkan pengetahuan akan ajaran gereja saya sendiri. Saya mulai berdoa memohon agar Tuhan menerangi hati dan fikiran saya.

Kenal pun tidak! Bertemu dengan mereka pun tidak pernah! Apakan lagi berbicara dengan mereka. Saya menyimpan niat di hati dengan begitu rapi sekali kerana juga merasa tidak layak menjadi seperti mereka. Pada ketika itu saya juga hanya ‘ikut-ikutan’ dalam aktiviti gereja. Saya lupakan niat itu dan memantapkan diri untuk pelajaran dan masa depan saya.

“Sebagai pelajar menengah atas, kami bertanggungjawab membantu dan membimbing pelajar bawah yang tidak ke gereja. Saya banyak menghadapi masalah pelajar yang ingin menukar agama kerana mudah dipengaruhi.”

Saya mulai bergiat aktif ketika saya belajar di tingkatan 6. Persatuan Pelajar Katolik telah banyak menguatkan dan menghidupkan panggilan di dalam diri saya semula. Sebagai pelajar menengah atas, kami bertanggungjawab membantu dan membimbing pelajar bawah yang tidak ke gereja. Saya banyak menghadapi masalah pelajar yang ingin menukar agama kerana mudah dipengaruhi. Saya banyak mengorbankan masa untuk membantu mereka walaupun saya sendiri sibuk dengan pelajaran. Saya merasakan campurtangan Tuhan yang begitu kuat di dalam kehidupan saya, dalam masa suka dan duka, pahit dan manis hidup saya.  

Pada masa yang sama saya mulai merasakan Tuhan bukan hanya menagih pengorbanan masa saya sahaja. Tuhan memanggil saya. “Siapa yang akan memberitahu mereka kalau tidak ada yang memberitakan pada mereka?” Roma 10:15, Firman Tuhan berbicara. I just simply felt that He was calling me. It was indeed a mystery! Menyedari hal ini saya mulai merasa takut. Apakah benar Tuhan mahu saya mengorbankan seluruh hidup saya padaNya?

Saya mula memikirkan tentang orang-orang yang saya sayangi dalam hidup saya, cita-cita yang selama ini saya perjuangkan. Memikirkan dengan lebih dalam, saya semakin takut untuk kehilangan mereka dan segala sesuatu yang saya inginkan dan nikmati. Ketakutan itu begitu hebat sehingga saya berusaha untuk lari dari semua aktiviti kerohanian dan rakan-rakan dengan alasan peperiksaan sudah hampir dan saya memerlukan masa untuk diri sendiri. 

“Walau saya berdoa untuk menyerahkan segala-galanya pada rencana dan kehendak Tuhan namun doa dan tindakan saya tidak seiringan kerana saya mula mengatur hidup saya sendiri”

Walau saya berdoa untuk menyerahkan segala-galanya pada rencana dan kehendak Tuhan namun doa dan tindakan saya tidak seiringan kerana saya mula mengatur hidup saya sendiri ‘kemahuan dan rancangan saya yang harus terlaksana’. Dalam kepenuhan keegoan diri terasa pula kehilangan dan kekosongan yang mendorong saya akhirnya mencari kembali diri saya. 

Saya belajar merelakan dan merendahkan hati atas rencana dan kehendak Tuhan dalam diri saya.  Saya sering berdoa dan memohon bantuan doa kudus Bonda Maria agar mengajar saya untuk mengucapkan doa penyerahannya, “Aku ini hamba Tuhan, terjadilah padaku menurut perkataanMu.” Sesungguhnya, semakin saya berusaha melarikan diri dan melupakan segalanya, semakin pula saya merasakan Tuhan itu begitu dekat dengan saya.

Saya mengikuti Seminar Panggilan 1987 di Bundu Tuhan untuk mengetahui apakah arah tuju hidup saya. Saya pasti Tuhan akan menunjukkan jalanNya pada saya. Saya masih tidak pasti apakah Tuhan mahu saya melayani sebagai seorang sister atau di sebaliknya. Saya melibatkan diri sepenuh masa dalam aktiviti gereja. Antaranya meninjau kehidupan rohani umat di kampung-kampung dengan menyertai rombongan lawatan paderi dan sister pada ketika itu. Melalui aktiviti ini saya telah dapat berkomunikasi dalam semua peringkat usia serta dapat turut merasakan kehidupan mereka, melihat dan menilai perkembangan rohani umat. Saya merasakan bisikan Tuhan untuk hidup saya. 

Beberapa bulan selepas mengikuti Vocation Retreat saya telah mendapat berita bahawa saya diterima masuk ke rumah pembentukan awal menjadi sister. Jiwa saya memuliakan Tuhan. Hati saya amat bersyukur kepadaNya kerana saya yakin Tuhan memimpin perjalanan saya. Pun bukan mudah untuk memberitahu berita ini kepada mama saya yang dari awal mula telah menentang niat saya. Pasti berita itu menjadi pukulan hebat bagi fikiran sederhana mama saya

Sr Joan bersama ibunya

Begitu banyak halangan yang cuba melemahkan hati saya. Mama saya khususnya menagih ‘balas jasa’ orang tua yang mendewasakan dan menyekolahkan saya. Halangan-halangan mama saya sesungguhnya amat benar bahawa seorang sister itu tidak akan bergaji, tidak kahwin/berkeluarga dan pastinya tidak dapat membantu orang tua. Awal mulanya mama berlembut tetapi melihat ‘kedegilan’ saya untuk meneruskan bermacam kata-kata pedih yang saya terima.

“Amat meyedihkan dan melukakan hati sebenarnya bila dianggap anak tidak berguna pada keluarga, durhaka”

Amat meyedihkan dan melukakan hati sebenarnya bila dianggap anak tidak berguna pada keluarga, durhaka malah harus lebih baik mati dari kecil sehingga tidak perlu bersusah payah mendewasakan dan menyekolahkan saya.  Semua itu hanya kerana saya mahu menjadi Sister.  Saya akui bukan mudah bagi orang tua saya untuk menerima keputusan saya.

Sekalipun saya merasa sangat yakin akan panggilan Tuhan dalam hidup namun saya juga mulai sangsi akan keputusan saya sendiri. Haruskah saya meninggalkan keluarga saya? Haruskah saya mengabaikan tanggungjawab saya dalam keluarga? Bagaimana saya dapat membalas segala kasih sayang, sokongan moral dan dorongan, nasihat dan perhatian mereka selama ini? Bagaimana dengan tanggungjawab saya terhadap adik-adik saya? Semua ini sekali lagi menghambat hati saya untuk terus melangkah.

Saya juga mempunyai perasaan untuk dicintai dan mencintai. Bukan mudah untuk meninggalkan seseorang yang amat menyayangi saya. Saya juga pernah memikirkan kemungkinan masa depan saya yang cerah dari segi karier dan hidup berkeluarga.

Tidak saya nafikan, saya juga memikirkan pandangan masyarakat di sekeliling andai nanti saya tidak dapat meneruskan perjalanan dan kembali. Saya juga mempunyai cita-cita yang terpendam di hati…dan apakah saya merelakannya dan bersedia untuk menerima risiko atas keputusan sendiri? Saya juga mereka terikat dengan tanggungjawab saya. Sekiranya saya meneruskan niat di hati siapakah nanti yang akan memberi perhatian aspek rohani adik-adik, membantu mereka dalam pelajaran dan memikirkan kemungkinan masa depan saya yang cerah dari segi karier dan hidup berkeluarga.

Semua ini membuat saya merasa ragu-ragu dan ketidakyakinan mula timbul di hati saya. Apakah benar Tuhan memanggil saya untuk menjadi seorang Sister? Apakah saya tidak salah dengar? ‘Setiap mereka yang sudah memulakan….memberi alasan…tidak akan layak di hadapan saya.’

Saya bersyukur kerana ketika menghadapi masalah-masalah itu saya sering mendapat kekuatan di dalam doa. Saya pasrahkan seluruh hidup saya pada rencana Tuhan. Sesungguhnya rancangan saya bukan rencana Tuhan. “Sebab rancanganKu bukanlah rancanganmu, dan jalanmu bukanlah jalanKu, demikianlah firman TUHAN. Seperti tingginya langit dari bumi, demikianlah tingginya jalanKu dari jalanmu dan rancanganKu dari rancanganmu.” (Yesaya 55:8-9) 

Tidak ada yang perlu saya takuti. Tuhan telah berjanji akan menyertai saya (Mat.28:20).  Kehadiran dan pengertian paderi dan sister yang melayani di tempat kami membuka fikiran saya. Pada bulan Oktober 1998, Fr Peter Abas merayakan Misa Kudus dan berdoa Rosari setiap hari. Saya mengikut peluang itu tanpa gagal dan berdoa kepada Tuhan khususnya untuk ibu bapa saya agar mereka dapat memahami niat saya dan mendapat ketenangan.

“Semua cabaran dan rintangan itu menjadi kekuatan bagi saya untuk melangkah.”

Kuasa Tuhan itu jelas. Semua cabaran dan rintangan itu menjadi kekuatan bagi saya untuk melangkah. Justeru kesulitan itu membantu saya mengenali diri saya, merendahkan hati di hadapan Tuhan dan menyerahkan hidup dalam bimbingan Tuhan. Akhirnya kata-kata kerelaan dan sokongan daripada ibubapa, ‘kamu sudah cukup matang untuk membuat keputusan arah hidup kau sendiri’ dan ‘kalau benar-benar mahu meneruskan, maka jalan dengan baik-baik’ dan ‘pulang saja kalau tidak mampu’ adalah keyakinan saya bahawa Tuhan itu benar-benar memegang hidup saya.  

Puji Tuhan atas anugerahNya yang selalu melimpah dalam hidup saya, akan kesetiaanNya sepanjang jalan hidup saya. Walaupun, saya sering kali kurang mampu menghidupi panggilanNya namun Dia tetap setia.

IN CONJUNCTION WITH VOCATION’S SUNDAY READ/CHECK ALSO THE FOLLOWING:

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top