TERAWI – Seramai 40 kanak-kanak telah menerima Sakramen Pembaptisan pada…
Keuskupan Agung KK batal Pesta Kaamatan kerana COVID-19
KOTA KINABALU – Ketua Keuskupan Agung KK, Uskup Agung John Wong mengambil keputusan untuk membatalkan Pesta Kaamatan peringkat keuskupan pada tahun ini kerana ketidakpastian yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.
Pesta dwitahunan itu sepatutnya diadakan pada 26 Mei di Gereja Holy Nativity Terawi.
Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dipanjangkan sehingga 12 Mei, namun adalah baik sekiranya umat masih mempraktis penjarakan sosial. “Berdiam di rumah adalah untuk kebaikan bersama bagi memutuskan rantaian jangkitan virus ini,” kata uskup agung.
Di dalam musim COVID-19 yang tidak menentu ini, uskup agung berkata kita melihat ketakutan dan penderitaan yang dialami dalam keluarga akibat pandemik ini sebagai berkat dalam penyamaran.
“COVID-19 telah memberi kita peluang untuk duduk diam di rumah, kita haruslah secara proaktif memanfaatkan waktu tersebut untuk memurnikan budaya keluarga kita,” cadangnya.
Sekiranya umat dapat menjadikan ini sebagai satu resolusi, uskup agung berkata Kaamatan tahun ini akan memberi kesan yang lebih mendalam terhadap budaya kita.
Di dalam pesannya untuk seluruh umat Keuskupan Agung, dia memaklumkan pilihan tema untuk Kaamatan tahun ini “Menghidupi keaslian budaya di dalam keluarga untuk meneruskan Misi Kristus”.
“Tema ini bererti, untuk meneruskan misi Kristus, keluarga dipanggil untuk menghidupi budaya yang tidak dicemari,” terang uskup agung.
“Misi adalah untuk menyelamatkan dunia dari virus yang disebut dosa yang telah mengganggu keindahan ciptaan…dan pada hari ini kita dapat melihat kesan daripada dosa itu.
“Sekiranya budaya didefinisikan sebagai ‘akal, adat istiadat, sikap dan tingkah laku sosial masyarakat atau bangsa tertentu’, maka kita boleh mengatakan bahawa sejak kejatuhan manusia pertama, budaya manusia telah dicemari oleh dosa kerana manusia tidak lagi dapat berelasi secara tepat,” katanya.
Untuk meneruskan misi Kristus, Uskup Agung Wong berkata kata kunci bagi ‘keaslian budaya’ di dalam keluarga adalah Kasih. Dia menyentuh ensiklik Benedik Ke-16 “Deus caritas est” (Allah adalah Kasih) yang membezakan ‘agape’ dari ‘eros’.
“Agape adalah kasih yang bersifat korban sementara eros adalah kasih yang egois. Untuk beralih dari eros ke agape, kita harus terlebih dahulu mengenali dan mengakui bahawa Allah adalah Kasih…sekiranya Dia mengasihi kita tanpa syarat, kita juga harus mengasihi orang lain tanpa syarat,” terang uskup agung.
Memandangkan Kaamatan kian hampir, dia memanggil semua umat untuk mencari waktu meneliti “keaslian budaya” ini di dalam keluarga.
“Adakah kita saling meluangkan masa di rumah? Adakah kita bercakap dan mendengar dengan kasih? Adakah kita membenarkan teknologi media menggantikan sentuhan peribadi kita? Adakah akal, sikap, adat istiadat dan tingkah laku sosial kita di rumah dan masyarakat didorong oleh agape atau eros?” kata uskup agung. – Linda Edward
This Post Has 0 Comments