TERAWI – Seramai 40 kanak-kanak telah menerima Sakramen Pembaptisan pada…
MISA ONLINE: Apa kata umat? Part 2
Rasa kosong seperti tidak terisi
Keluarga Paula G, St Catherine Inanam / Kunak – Pengalaman saya mengikuti Misa online amat berbeza sekali dengan mengikutinya secara nyata. Saya merasa amat kurang dan rasa kosong yang tidak terisi apabila tidak menerima Tubuh dan Darah Yesus secara nyata, saya berasa sedih. Hubungan kekeluargaan tetap wujud kerana bersama-sama di dalam rumah tetapi rasa kehadiran Tuhan tidak dipenuhi.
Terasa seperti menghadiri Misa di Gereja
Umat – Masa live broadcast Misa hari ini, saya sebagai ketua rumah sangat gembira kerana dapat menyatukan anak-anak dan cucu, memberikan perhatian penuh sepanjang Misa. Saya rasa terberkati dan perasaan sama saja dengan Misa Kudus di Gereja walaupun tidak dapat menyambut Tubuh dan Darah Yesus secara nyata. Terima kasih banyak kepada paderi paroki Fr Nicholas Stephen dan rakan-rakan kru dalam Cahaya Kinabalu kerana dpt melakukan live Mass. Tuhan Yesus Memberkati.
Umat awam dari St Theresa Tambunan
“Mendengar Firman Tuhan dan homili pada saat seperti ini sangat memberi kekuatan.”
“Terharu dan menangis apabila saya lihat Tubuh Yesus diangkat.”
“Banyak kali saya mendengar homili Fr Rudolf Joannes, sungguh Roh Kudus bekerja.”
“Ia sangat menyentuh hati saya dapat bersatu dengan keluarga dan berdoa bersama.”
“Di tengah-tengah perintah kawalan pergerakan ini, syukur masih dapat mengikuti Misa secara online.”
“Sangat luar biasa, lebih ramai umat yang datang Misa Kudus online dalam masa pandemik ini.”
Tidak fokus kerana gangguan internet, persiapan peribadi
Julita Clement Moduli, St Stephen’s Chapel, Manggatal – Sejak tiada Misa di gereja, kami sekeluarga telah mengikuti Misa Online setiap minggu dan pada hari raya besar seperti Hari Khabar Sukacita. Minggu pertama kami mengikuti saluran Sacred Heart KK pada jam 9.30 pagi dalam Misa Bahasa Melayu, manakala minggu kedua kami mengikuti Misa Kudus di saluran Cahaya Kinabalu jam 9.00 pagi dari St Peter Claver’s Ranau.
Pada minggu pertama itu, saya dan keluarga tidak berapa fokus disebabkan gangguan talian internet yang tidak berapa baik dan persiapan peribadi juga agak kelam kabut terutama dengan anak-anak.
Namun secara peribadi saya sangat bersyukur masih dapat merayakan Misa Kudus secara online dan saya merasakan saya seperti berada bersama keluarga dan umat-umat lain di gereja dalam saluran yang kami ikuti, kerana kami juga sediakan altari, lilin, Salib Yesus dan Alkitab di atas meja.
Tetapi saya juga sedih kerana tidak dapat menerima komuni kudus yang pada setiap hari minggu saya terima di gereja sebelum ini. Bagi saya hostia itu memberi kekuatan kepada saya untuk meneruskan kehidupan pada minggu seterusnya. Mengalir juga airmata saya, doa menerima komuni secara iman bagi saya tidak dapat melengkapkan peribadi saya dalam Misa tersebut.
Namun sedaya upaya saya menerima keadaan yang berlaku sekarang ini dan berdoa agar keadaan akan pulih sepenuhnya nanti dan kita dapat bersama sama lagi bersyukur, memuji Tuhan dan mohon pengampunan dan menerima hostia suci di gereja.
Saya berfikir, ada juga hikmah Misa online ini di mana kami sekeluarga dapat duduk bersama-sama sebab kalau di gereja masing-masing kami duduk ikut pelayanan kami dalam minggu itu. Semasa Misa online sempena Hari Raya Khabar Sukacita, saya menangis lagi bukan juga kerana saya tidak dapat terima komuni tetapi saya teringat masalah penyakit COVID-19. Saya begitu terharu dengan keadaan di Italy, di mana berlaku ribuan kematian dalam sehari. Saya merasa sungguh kasihan dengan Bapa Suci kita. Dan Hari Paska pun kita tidak dapat rayakan bersama sama.
Terima kasih keuskupan kerana prihatin kepada umat
Umat St Augustine, Kinarut – Kami sekeluarga mengikuti Misa Online setiap hari. Saluran yang kami pilih ialah dari Keuskupan Agung Singapura iaitu Isnin-Sabtu pada jam 1.15 pm dan Misa Minggu pada jam 10.00 am.
Kami suka mengikuti saluran Singapura kerana mereka menggunakan saluran Youtube dan sesiapa yang terlepas, boleh ulang tayang semula dan mengikuti Misa pada hari tersebut pada bila-bila masa saja.
Pendapat saya dengan mengikuti Misa secara online oleh sebab COVID-19 ini, adalah sangat baik. Kami amat bersyukur dan berterima kasih di atas inisiatif setiap keuskupan membantu dan prihatin kepada umat-umatnya agar sentiasa bersatu dengna Tuhan Bapa.
Hanya satu sahaja, kami tidak dapat menyambut Tubuh Kristus secara fizikal tetapi saya amat terharu dan tersebak setiap kali semasa penyambutan kami hanya mampu menyambut Tubuh dan Darah Kristus secara rohani. Terasa rindu untuk menerima Tubuh Kristus itu membuatkan saya tersebak dan menangis di dalam hati. Tetapi saya meletakkan kepercayaan penuh dan dengan iman, saya telah menerima Dia ke dalam jiwa ini.
Mungkin anak-anak saya tidak dapat mendalaminya atau mengerti sepenuhnya, maka itu saya mengambil kesempatan untuk mewakili anak-anak saya di hadapan Tuhan secara rohani dalam Misa Kudus online dan melakukan persembahan sepenuhnya untuk Tuhan. Demi penyelamatan jiwa-jiwa dan pengampunan dosa-dosa kami.
Saya amat merindui Yesus Kristus, rindu akan perayaan Ekaristi dan rindu untuk menyambut Tubuh Kristus.
Dan sekarang, terima kasih coronavirus kerana telah datang, bukan hanya mengingatkan kita tetapi untuk mengambil apa yang bukan milik kita, yang diberi Tuhan iaitu ‘Hidup’.
Sekarang jika ada masa yang cukup, jika masih ada peluang terakhir, jika masing-masing dari kita masih layak untuk menerima belas kasihan daripada Tuhan yang Mahakuasa, saya berdoa dan meminta kuasa Roh Kudus untuk datang kepada kita dan beristirahat di dalam hati kita agar kita dapat melihat gambaran sebenar kehidupan kita sendiri di hadapan Dia.
Sekarang, tinggal di rumah, saya berusaha sedaya upaya untuk bersabar dan sentiasa berjaga-jaga, menjaga kesihatan saya dari segi fizikal dan rohani, berhubung dengan ahli keluarga dan orang tersayang dengan lebih kerap dan berdoa kepada yang sakit dan mereka yang di ambang kematian, pertobatan saya sendiri dan dunia, dan yang paling penting ialah keselamatan semua jiwa.
Tumpuan lebih kepada Tuhan kerana tiada gangguan sekeliling
PJ Densia, St John Tuaran – Dua minggu telah berlalu sejak kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan duduk tinggal di dalam rumah kepada seluruh rakyat Malaysia. Walaubagaimana pun saya rasa sungguh bersyukur sebab Gereja Katolik telah mengadakan Misa Kudus secara online.
Kami mengikuti Misa Kudus online melalui siaran langsung dari Keuskupan Kuala Lumpur setiap jam 12.00 tengahari (Ahad). Kami mengikuti Misa online ini secara sederhana dengan berkumpul bersama ahli keluarga yang kami atur dalam ruangan kecil dalam rumah.
Meskipun demikian, saya merasai kehadiran Tuhan bersama dalam keluarga kami. Semua ahli keluarga dapat mengikuti Misa ini malah rasanya tumpuan yang lebih terarah kepada Tuhan kerana tidak ada gangguan suasana sekeliling. Selain itu hubungan keluarga menjadi lebih erat dan bersama memuliakan dan memuji Tuhan. Kami merasakan paderi yang mengupacarakan misa itu seakan-akan benar-benar bersama kami di dalam rumah dan bukan dalam skrin LCD.
Anak saya berpendapat bahawa mengikuti Misa online memang sunggub baik terutama bagi mereka yang tidak berkenderaan supaya tidak sukar untuk keluar rumah. Hanya yang kurang ialah tidak dapat menerima komuni secara fizikal. Tapi biarpun tidak ada penyambutan Ekaristi Kudus, kami tahu Tuhan ada di dalam hati kami kerana kami menerimaNya secara rohani. Dia Maha mengetahui apa yang kami perlukan.
Kami memang sungguh bersyukur kerana inisiatif yang gereja sediakan kepada umatNya untuk mengikuti misa online pada waktu ini. Kami merasakan bahawa rumah tangga kami ini adalah gereja kecil Yesus Kristus.
Sebagai umat beriman, kami juga merasai tanggungjawab kami dalam gereja. Oleh itu kami sekeluarga telah membuat inisiatif sendiri untuk mengutip koleksi antara kami sekeluarga. Kami ingin memberi kepada gereja, meskipun nilai yang sangat kecil tetapi yang penting tulus dan ikhlas untuk memberi, lebih-lebih lagi pada masa Prapaska ini. Kami akan menyerahkan koleksi kami itu nanti kepada gereja apabila PKP dilonggarkan. Semoga pemberian yang tidak seberapa dapat bermanfaat kepada pihak gereja.
Makanan rohani secara maya
Ahli SOCCOM St Peter Claver’s Ranau – Saya selalu mengikuti Misa Kudus online setiap minggu melalui Facebook live oleh Cahaya Kinabalu pada jam 9.00 pagi dalam Bahasa Melayu.
Mengikuti Misa secara maya dan mengikuti Misa secara fizikal adalah sangat berbeza sebab salah satunya tidak dapat menerima Tubuh Kristus yang mana merupakan bahagian penting dalam kehidupan kita. Kerinduan ingin menyambut Tubuh Kristus sangatlah besar namun pun begitu saya tetap mahu bersyukur dan gembira kerana saya masih diberi kesempatan mengikuti Misa dan mendengarkan Sabda Tuhan yang dikuatkan lagi oleh homili oleh paderi untuk makanan rohani walaupun hanya secara maya. Walaupun begitu Misa Kudus di mana kita dapat hadir secara fizikal adalah lebih baik namun kerana keadaan negara sekarang Misa online adalah cara yang terbaik. Melalui pengalaman ini saya melihat begitu banyak keluarga yang bersatu.
Tiada internet di kampung, kami berdoa rosari
Dorothy, Chapel St Yohanes Pembaptis, Kg Pukak Kiulu – Saya sangat rindu datang ke gereja untuk Misa Kudus atau Ibadat Sabda bersama umat yang lain tapi apa boleh buat, kita harus ikut Perintah Kawalan Pergerakan demi mengekang COVID-19. Di kampung, kami tidak dapat sertai Misa online kerana tidak ada kemudahan internet yang baik. Kami sekeluarga berdoa rosari dan merenung Sabda Tuhan sahaja setiap hari untuk meneguhkan iman kami terlebih lagi pada saat ini.
Lakukan Ibadah bersama keluarga tanpa merasa kurang berkat
Kat Edward C. Dupolo, St Dominic’s Chapel, Kg Lokos – Sejak puluhan tahun chapel kita menjadi tempat perkumpulan untuk merayakan hari Tuhan tetapi pada sekarang chapel kita menjadi sunyi. Ia ditutup. Semuanya kerana coronavirus. Kita sedar betapa pada musim Prapaska ini, ribuan umat Tuhan sangat memerlukan sentuhan Firman Tuhan.
Maka, tidaklah keterlaluan bagi saya secara peribadi mengajukan soalan, siapakah yang paling berkuasa, coronavirus atau Tuhan?
Sebagai pelayan di chapel ini, saya ingin mengajak seluruh umat agar keluar dari pola fikir tersebut. Kita hanyalah makhluk lemah yang perlu belas kasihan. Bila kita hidup berlandaskan belas kasihan, maka janganlah kiranya kita mencubai Tuhan.
Gereja menangguhkan perkumpulan agar dapat membendung penularan wabak coronavirus. Ini adalah bentuk usaha yang kita mampu selain berdoa mohon perlindungan Tuhan.
Saya berpendapat Tuhan sedang memperhatikan umatNya. Kesetiaan iman mereka untukNya melalui ujian dari coronavirus ini.
Hanya itu sahaja yang dapat saya tekankan, lakukanlah Ibadah bersama keluarga tanpa merasa kurang berkat. Janganlah pula kesempatan seperti ini digunakan untuk perkara mengundang dosa.
Coronavirus menjelma menjelang Prapaska, ia mengajak umat seluruh dunia untuk lebih mendekat kepada Penciptanya. Mungkinkah dalam perayaan Paska yang bakal menjelang tiba, Tuhan bakal menampakkan diriNya untuk kita. Maka, berjaga-jagalah, kerana kedatanganNya tidak dapat kita duga.
Selamat beribadah bersama keluarga, Tuhan Yesus memberkati serta melindungi kita semua.
PKP beri ruang kepada semangat kekeluargaan yang telah lama hilang
Christina David – Sepanjang tempoh PKP ini benar-benar telah memberi kami ruang untuk menghidupi kembali semangat kekeluargaan yg telah lama hilang. Banyak masa kami habiskan untuk berkumpul dan berdoa bersama serta melakukan aktiviti bersama. Hubungan keluarga semakin dekat.
Dalam Misa online Palma, Fr Nick dalam homilinya memberitahu bahawa kemenangan Yesus adalah memasuki Kota Yerusalem, dan kini kemenangan Yesus pada saat ini adalah memasuki rumah-rumah keluarga yang selama ini tertutup, kosong dan hambar.
Namun, kita semua sebagai satu keluarga perlu membuka pintu rumah seluas-luasnya dan menyambut Yesus yang datang. Paling penting adalah membuka pintu hati kita dan menjemput Yesus masuk ke dalam kehidupan kita secara peribadi.
Homili Fr Nick sungguh membawa kami sekeluarga untuk semakin mencintaiNya dan mengasihi sesama kami. Kini berada di rumah bersama keluarga adalah saat-saat yang sangat bermakna.
PKP dan perayaan Minggu Suci tanpa menghadiri gereja seperti kebiasaan kita membawa saya utk merenung dan menghayati kesengsaraan Tuhan Yesus dengan lebih mendalam. Kesakitan, kesedihan, ketakutan dan kebimbangan yang di alami oleh Tuhan Yesus turut saya rasakan terutama dalam keadaan sekarang. Namun, Tuhan tidak pernah meninggalkan kita semua. Perasaan dekat dengan Yesus sangat kuat dan itulah kekuatan yang memberikan saya dan kita semua penghiburan.
Walaupun pkp ..kami bersyukur kerana masih dapat mengikuti Misa secara online. Tidak menyedari air mata mengalir. Pertobatan itu sungguh bererti bagi Iman Kita sebagai katolik.tampa pertobatan,pengampunan. Iman Kita kosong.
Syukur dan puji Tuhan