TERAWI – Seramai 40 kanak-kanak telah menerima Sakramen Pembaptisan pada…
Tri-Hari Paska yang sunyi dan sepi bagi Gereja Katolik
KENINGAU – Belum pernah terjadi sebelumnya, Gereja Katolik akan merayakan Tri-Hari Paska dalam suasana sunyi dan sepi pada tahun ini kerana tempoh perintah kawalan pergerakan akibat wabak COVID-19 masih lagi berkuatkuasa.
Uskup Cornelius Piong dalam surat pastoralnya kepada semua lapisan pemimpin gereja, religius dan umat awam Keuskupan Keningau berkata umat harus mengambil kesempatan ini untuk menyedarkan diri dan merenung kembali relasi cintakasih dengan Tuhan.
Uskup berkata pengalaman merayakan Tri-Hari Paska dalam suasana sepi membantu umat mengalami sendiri erti kesengsaraan Yesus, “Suasana sunyi dan sepi ini akan membantu kita mengalami pengalaman Yesus sendiri di Taman Getsemani, pengadilanNya di hadapan Pilatus, ketika memikul salib dan waktu Dia disalibkan. Memang kita merasa sedih tetapi kita terima keadaan ini dengan yakin bahawa Yesus tetap hadir dan menyertai kita,” kata prelatus.
Uskup juga memahami ada perasaan takut dan risau di kalangan semua orang dalam masa yang sukar ini, namun dia menyeru sekali lagi seperti yang dinyatakannya semasa Pesta Khabar Sukacita pada 25 Mac yang lalu, “Jangan takut, bagi Tuhan tiada perkara yang mustahil”.
“Marilah kita mengarahkan pandangan hidup dan iman kita kepada Yesus yang lebih dahulu telah mengalami ketakutan, kesengsaraan, kematian tetapi kini hidup kembali, hadir dan menyertai kita. Marilah kita juga mengarahkan pandangan hidup dan iman kita kepada Bonda Maria,” katanya.
Pengalaman seperti ini katanya lagi membantu membangun iman sejati, “Mungkin selama ini kita mendasarkan iman Kristiani kita lebih kepada ritus, perhimpunan umat, bangunan gereja yang hebat, kehebatan khotbah dan perkara-perkara luaran. Tetapi kita belum mengalami sendiri apa yang dialami Yesus, sengsara dan wafat sebelum kebangkitanNya dalam mentaati kehendak Tuhan Bapa yang mengutusNya.”
Pengalaman menghadapi wabak COVID-19 termasuk perintah kawalan pergerakan yang akan menghadkan perjalanan Paska mulai 5-12 Apr dari Hari Minggu Palma, Khamis Suci, Jumaat Agung, Vigili dan Hari Raya Paska, Uskup Cornelius berkata, “Semoga apa yang kita alami ini membantu kita turut serta mengalami kesengsaraan Yesus agar kita dibantu memiliki kualiti iman yang lahir dari pengalaman pengorbanan sebenar seperti yang dituntut oleh Yesus, agar sesiapa yang mahu mengikutNya “jangan mementingkan diri sendiri, memikul salib setiap hari dan mengikut Aku” (Luk. 9:23).
Dia juga memetik pesan Bapa Suci Fransiskus sewaktu Pemberkatan Khusus Urbi et Orbi untuk Kota Roma dan seluruh dunia pada 27 Mac yang lalu dari Basilika St Petrus, di mana murid-murid Yesus takut kepada angin ribut yang memukul perahu mereka dan merasai bahawa Yesus tidak ambil peduli.
“Sebagai anggota-anggota Gereja yang sedang dalam perjalanan atau pelayaran bersama dengan Yesus Kristus, pertanyaan Yesus ini adalah relevan untuk kita semua dalam keadaan penularan wabak COVID-19 yang menakutkan ini, Mengapakah kamu takut? Mengapa kamu masih belum percaya kepadaKu? Tuhan Yesus hadir, menyertai dan ambil peduli terhadap kebajikan kita, oleh itu jangan takut,” kata Uskup.
Dia menjemput umat untuk merenung tentang relasi dengan Tuhan, “Apakah selama ini, sebelum COVID-19, kita ‘take for granted’ atau bersikap tidak menghargai Dia kerana kita merasa kita mampu menjalankan hidup tanpa Dia?…Marilah baharui dan tetapkan kesatuan kita dengan Yesus kerana Dia sendiri berpesan, “tanpa Aku kamu tidak dapat berbuat apa-apa”.
Uskup mengingatkan umat tentang tanggungjawab sosial dengan membaharui dan memperbaiki tanggungjawab terhadap keperluan sesama manusia contohnya akur kepada perintah kawalan pergerakan oleh Kerajaan, “kita ikut arahan supaya kita duduk di rumah agar kita dapat membantu memutuskan rantai penularan dan jangkitan virus corona ini. Jangan hanya pentingkan diri sendiri,” serunya.
Dia juga menyentuh tentang sudut positif yang diakibatkan oleh virus corona iaitu penurunan kadar pencemaran alam, kesatuan keluarga dan kesedaran kuasa besar dunia akan keterbatasan mereka.
“Apabila seluruh dunia menguatkuasakan pergerakan terhad atau ‘lockdown’, pencemaran alam telah dapat dikurangkan dengan ketara sehingga lapisan ozon bumi memperlihatkan pemulihan dan penyembuhan dengan sendirinya. Keluarga yang selama ini tidak dapat disatukan kerana kesibukan harian dapat duduk di rumah bersama-sama. Kuasa-kuasa besar di dunia nampaknya mengakui keterbatasan masing-masing dan mulai memandang kepada Tuhan untuk mohon pertolongan,” kata Uskup. – Linda Edward
This Post Has 0 Comments