Skip to content

MISA ONLINE: Apa kata umat?

DENGAN hati yang berat, pada pertengahan bulan Mac, Gereja Katolik memberhentikan seketika semua upacara Misa Kudus dan aktiviti gereja yang sudah menjadi nadi kehidupan menggereja. Namun tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia harus dijalankan di kala kemelut pandemik global COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan harus dipatuhi.

Semenjak Misa Kudus ditiadakan di dalam gereja, umat telah mengikuti Misa yang dibawa secara langsung dari paroki-paroki di seluruh negara dan juga luar negara. Ternyata umat merasai perbezaannya, pelbagai reaksi dikongsi oleh mereka berbentuk pandangan, harapan dan kata-kata motivasi.

Ikuti perkongsian mereka.

Letak masa depan keluarga dalam perlindungan dan pemeliharaan Tuhan

Marcus Kopong dan isteri Judith, Pembimbing Kateketikal KM – Secara peribadi kami sekeluarga mahu menaikkan rasa penuh syukur kerana adanya live-stream Misa pada pagi Minggu.

Sememangnya sebagai sebuah keluarga yang menitikberatkan soal keimanan kepada Tuhan, kami berasa amat sedih dengan situasi ini. Namun, iman kami menyatakan bahawa Tuhan tetap hadir bersama-sama walaupun hanya di dalam live-stream Misa ini.

Sabda Tuhan sentiasa memberi kami inspirasi dan kekuatan untuk tetap berdoa bersama terutamanya dalam Misa ini sebab Di mana dua atau tiga orang berkumpul dalam NamaKu, di situ Aku ada di tengah-tengah mereka (Mat 18:20).

Pengalaman selama dua minggu ini adalah satu pengalaman yang baru dan pertama bagi kami sekeluarga di mana  kami hanya memberi respon sehala saja  kepada paderi , sangat luar biasa. Tanpa iman pastinya kami tidak akan mengikuti live-stream Misa itu. 

Puji Tuhan atas kehadirannya di dalam kehidupan kami sekeluarga. Walaupun live-stream Misa ini tidak melengkapkan kami menerima SakramenNya, namun sekurang-kurangnya anak-anak tetap dapat  dipimpin dan dibimbing untuk tidak menyerah kalah kepada keadaan yang berlaku sekarang ini.

Keadaan ini malahan telah memberi keteguhan iman yang lebih lagi kepada kami sekeluarga untuk tetap beriman dan percaya kepada Tuhan dalam apa pun situasi yang berlaku.

Kesempatan seperti ini juga membolehkan kami lebih tekun dalam doa dan tetap meletakkan masa depan keluarga ini di dalam perlindungan dan pemeliharaan Tuhan. Semoga nama Tuhan akan terus dimuliakan di seluruh muka bumi dan semoga wabak COVID-19 akan segera berlalu.

Lebih menghargai Misa Kudus

Sr Dariah Ajap – Syukur dan puji Tuhan kerana dalam masa ini kami Sr FSIC masi berkesempatan menghadiri Misa Kudus secara tertutup di dalam konven Stella Maris. Saya rasa sangat bertuah dapat menghadiri Misa ini, namun di lubuk hati merasa sedih, terharu kerana ramai umat di luar

sana tidak berkesempatan mengikuti Misa seperti biasa.

Pengalaman ini amat luar biasa dan ini membuatkan saya secara peribadi lebih menghargai Misa Kudus kerana dapat menerima Tubuh dan Darah Kristus setiap hari, pusat sumber kekuatan hidup.

Apabila melihat gereja-gereja yang kosong yang biasanya dibanjiri umat pada hari Ahad, hati ini berseru kepada Tuhan sampai bilakah ini akan berlaku? Semoga dengan doa-doa umatNya dan belas kasihan Tuhan, COVID-19 ini akan berlalu dengan segera.

Tuhan benar-benar ada berserta kami

Keluarga Fredmond Ajap, Kg Lintuhun Tambunan – Saya mengikuti Misa Minggu pagi secara live-streamed di Keningau. Apabila saya menutup mata menghayati Misa dan betul-betul mahu merasai kehadiran Tuhan Yesus bersama, tiba-tiba airmata saya menitis. Saya rasa berbeza daripada yang selalu hadir Misa di gereja, seperti ada sentuhan .

Apa yang saya rasa masa itu adalah saya sedih tidak dapat pergi ke gereja secara fizikal dan saya terfikir Tuhan Yesus berkorban untuk menebus dosa manusia dan keadaan dunia sekarang ini. Sampai mummy saya tanya, “menangis kah?” tapi saya diam saja. Dalam hati saya berkata, “Tuhan benar-benar ada berserta kami”. Semasa Komuni, saya bayangkan saja menerima Tubuh dan Darah Kristus.

Sebelum ini bergilir ke Misa Kudus, sejak PKP kami dapat bersama dalam Misa Kudus

Shirley Joseph, Paroki St Mary’s Sandakan – Selama saya menjadi seorang Katolik ini merupakan kali pertama mengikuti Misa Kudus secara langsung atas talian. Perasaan sangat jauh berbeza daripada menghadiri Misa Kudus di gereja dan menerima Tubuh Kristus.

Namun dalam keadaan krisis penularan virus berbahaya yang telah dan sedang meragut ramai nyawa di seluruh dunia, saya tetap bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan yang Mahakuasa, kerana sekurang-kurangnya saya masih bernafas dan berkesempatan menjalani Misa Kudus bagi memenuhi keperluan rohani saya.

Saya berasa seolah-olah seperti ‘mayat hidup’ jika tiada Yesus dalam kehidupan saya. Saya juga amat terharu bila mana saya bersama suami dan adik ipar yang tinggal serumah dapat menjalani Misa Kudus bersama.

Ibu mertua saya telah dimasukkan ke hospital pada bulan Januari lalu dan kini berada di rumah, sedang dalam proses pemulihan daripada kesan serangan strok ringan akibat terjatuh dan kepalanya terhantuk.

Sejak dari hospital kami bertiga terpaksa bergilir-gilir ke gereja untuk menghadiri Misa Kudus. Seperti satu berkat dan rahmat dariNya, disebabkan perintah kawalan pergerakan ini kami dapat bersama dalam Misa Kudus. Ibu mertua saya turut tersentuh dan menitiskan air mata semasa Misa Kudus berjalan.

Syukur kepada Tuhan. Semoga beliau dan semua orang yang menderita sakit di seluruh dunia terutama bagi yang sedang berjuang untuk hidup setelah dijangkiti virus COVID-19 disembuhkan secara rohani dan jasmani seperti orang buta dalam bacaan Injil hari ini. Amin.

Pelbagai reaksi dari anak-anak

Lydia Dulipa Gantor, Holy Family Telipok – Kami sekeluarga mengikuti Online Mass pada hari minggu melalui facebook Cahaya Kinabalu pada jam 9 pagi. Disebabkan inilah kali pertama mengikuti Misa online, maka pelbagai reaksi dari anak-anak kami. Ada yang mengatakan mengikuti Misa online macam tidak real dan rasa pelik kerana sepatutnya Misa mesti tradisional dan bukan menggunakan teknologi. Walau bagaimanapun pengajaran atau homili masih boleh difahami. Ada di antara mereka yang menyukai Misa online dengan alasan tidak susah payah keluar. Hanya masalahnya tidak dapat menyambut secara nyata. Bagi ibu bapa pula mereka rasa selesa juga mengikuti Misa online sebab dapat lebih fokus mendengar homili paderi. Masalahnya mereka tidak dapat memberi sumbangan kasih kepada gereja, kecuali jika gereja mempunyai akaun khas bolehlah juga buat online transfer.

Misa online atau fizikal dalam gereja adalah sama

Cosmas Bodon, CDC – Misa secara online memang sangat bagus terutama bagi yang tidak dapat bergerak menghadiri Misa secara fizikal.

Namun kerana ia bukan budaya Kristiani terutama umat Katolik maka ia kurang mendapat perhatian.

Ramai tidak ambil peduli termasuk keluarga saya sendiri. Tambahan pula dengan paparan yang terlalu terhad di skrin telefon bimbit. Tumpuan tidak fokus pada Misa kerana kehadiran secara fizikal dalam gereja jauh berbeza dengan online.

Pengalaman secara peribadi saya mengikuti Misa secara online tidak jauh beza dari segi rohani hanya beza dari segi tempat dan tidak menyambut Tubuh Kristus secara fizikal.

Kepercayaan dan keyakinan saya akan kehadiran Yesus Kristus secara online atau fizikal dalam gereja adalah sama.

Terima kasih atas inisiatif team Soccom atas semua siaran Misa online. Masih banyak ruang yg boleh dipromosi dalam ruangan online dan mungkin ini menjadi pengalaman bermakna untuk program-program lain di masa akan datang. Tuhan memberkati.

Tetap bersyukur kerana dapat mendengar Sabda Tuhan dan homili paderi

Sylvia Edward, Sacred Heart Inobong – Keluarga kami mengikuti Misa Online di saluran Facebook Sacred Heart Cathedral Parish KK (www.facebook.com/shckk) dan ada juga yang mengikuti saluran Facebook Gereja St Peter Claver Ranau (www.facebook.com/cahayakinabalufanpage). Kadangkala kami tidak dapat berdoa bersama sebagai satu keluarga kerana ada di antara ahli keluarga kami yang bertugas di hospital.

Pengalaman Misa Online boleh membantu secara rohani, hanya memang sungguh berbeza kerana tidak dapat menerima komuni secara asli. Walau bagaimanapun rasa bersyukur juga kerana dapat mendengar Sabda Tuhan dan homili paderi. Kami sekeluarga cuba sedaya upaya bersatu hati menanam Firman Tuhan dan renungannya itu dalam doa setiap hari dan memang ada cabarannya juga. Sebahagian kami ada kanak-kanak, dewasa dan orang tua. Ada yang fokus berdoa dan ada juga yang tidak. Saya sebahagian di dalam keluarga cuma mampu banyak bersabar dan sedaya upaya membawa mereka bersatu di dalam doa.

Salah satu cabaran dalam mengikuti Misa Online ialah kurang pemahaman dan kurang persediaan. Masa Misa online sedang berlangsung ada lagi budak-budak yang masih bermain, ketawa dan tidak berpakaian malah mempersendakan yang rumah sendiri sudah menjadi gereja.

Semuanya ini kerana kurang pengawasan dari ibubapa sendiri yang juga kurang memahami tentang pentingnya Misa Online ini. Namun saya dapat melihat ada di antara kami sedaya upaya memperbaiki diri sendiri. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan untuk itu.

Namun sejak peningkatan kes COVID-19, ada di kalangan ahli keluarga yang begitu bersemangat untuk berdoa. Puji Tuhan! Dan saya amat yakin bahawa tahun ini adalah tahun pertobatan untuk berpaling kepada Tuhan sepenuh masa dan pembersihan beramai-ramai untuk jiwa-jiwa yang tersesat.

Klik untuk membaca sambungan perkongsian umat tentang Online Mass Part 2…

Lihat gambar-gambar umat mengikuti Online Mass

This Post Has 3 Comments

  1. Syukur dan puji Tuhan
    Walaupun kita tidak dapat bergerak bebas tetapi masih dapat berkomunikasi dgn dunia luar. Inilah kelebihan media digital. CS perlu ambil peluang ini untuk maju seiring dgn kemajuan tenologi baru. Media informasi seperti Catholic Sabah mesti lakukan transformasi ke arah digitalisasi dgn penampilan yg berinovasi dan menarik agar informasi-informasi yg penting terutama pembangunan minda umat Katolik di Sabah dapat sampai ke generasi belia dan umat yg tidak ada kemudahan jalan raya tetapi boleh dicapai secara online.
    Pendekatan secara digital banyak kelebihan pada masa akan datang. Dari segi pemasaran dan sokongan.
    Saya berdoa agar ia akan dicapai dalam masa terdekat.
    Catholic Sabah mampu bersaing walaupun sukar tapi saya percaya ia akan berjaya.
    Utamakan keupayaan tim pelaksana dan kebajikan sesama pasti diberkati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top