Skip to content

Seminar Pertama Pembentukan Ekologi Pembimbing Sekolah Minggu

Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan dan Komisi Katekatikal Keuskupan Agung Kota Kinabalu bersama ke arah Misi Kristus

KOTA KINABALU – “Pada mulanya adalah Firman, Tuhan menjadikan segalanya sangat baik.” Kisah Penciptaan Bumi berdasarkan Bab Kejadian 1 – 3 merangkumi kisah di mana “Allah Menciptakan Langit dan Bumi serta Isinya” diikuti dengan kisah “Manusia dengan Taman Eden” sehinggalah kisah “Manusia Jatuh ke dalam Dosa” merupakan intipati utama di dalam program Seminar Pembentukan Ekologi yang di anjurkan oleh Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan bersama Komisi Katekatikal Keuskupan Agung Kota Kinabalu.

Program tersebut menyaksikan kehadiran 507 orang peserta yang terdiri daripada pembimbing sekolah minggu dari seluruh keuskupan di Dewan Katedral Hati Kudus, Kota Kinabalu, 7 Mac. Jumlah tersebut adalah diluar jangkaan daripada sasaran awal.

Sesi bermula seawal 8.00 pagi dengan doa pembukaan yang dipimpin oleh Fr Russel Lawrine selaku penasihat rohani Komisi keadilan ciptaan Tuhan.

Sr Calista fsic

Sesi pertama disampaikan oleh Sr Calista Saliun yang memberi penerangan tentang Kisah Penciptaan yang merupakan satu katekesis yang sangat penting dan menjadi asas kepada kehidupan manusia khususnya untuk orang Katolik (KGK 282).

Sr Calista menekankan tentang pentingnya tiga bab pertama dari Kitab Kejadian ini kerana ketiga-tiga bab ini menjadi sumber kepada persoalan-persoalan di manakah mulanya kehidupan kita dan matlamat kehidupan di dunia dan seterusnya menjadi harapan bagi kita atas dosa asal kita melalui Kedatangan Yesus Kristus (KGK 289).

Sesi seterusnya disampaikan oleh salah seorang ahli komisi yang juga merupakan pakar dalam bidang perubahan iklim dan sains, Prof Dr Justine Sentian. Sesi kedua membawa peserta untuk melihat dengan lebih jelas tentang perjalanan selama 6 hari penciptaan yang dilakukan oleh Tuhan dan bagaimana semua ciptaanNya yang baik dan indah ini telah mengalami kemusnahan kerana disebabkan oleh kerakusan dan ketamakan manusia itu sendiri.

Laporan Soal Kaji Selidik Kisah Penciptaan 2020 yang telah dijalankan oleh kumpulan belia Eco-Outreach Team bagi mengetahui sejauh mana pemahaman para pelajar tentang kisah penciptaan telah memberi gambaran bahawa kita memerlukan kaedah dan pendekatan baru yang lebih kreatif dan efektif untuk mencapai pembentukan iman di kalangan pelajar.

Berdasarkan kepada hasil dapatan ini, dan bagi memenuhi keperluan dalam usaha untuk memperolehi tahap pemahaman para pelajar mengenai tajuk tersebut maka Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan dan Eco-Outreach Team telah menghasilkan tiga modul sebagai alat bantu mengajar untuk membantu para pembimbing memberi kefahaman yang lebih mudah kepada para pelajar bimbingan mereka.

Melalui ketiga-tiga jenis permainan atau alat bantu mengajar yang dikendalikan sepenuhnya oleh kumpulan belia Eco-Outreach Team bersama para sukarelawan, telah menarik minat lebih 500 orang guru pembimbing.

Sr Dariah fsic

Koordinator Komisi Katekatikal, Sr Dariah Ajap berterima kasih dan mengucapkan syabas kepada semua pembimbing atas penyertaan aktif mereka sepanjang program. Kita bersyukur di atas bakat yang di kongsikan oleh kumpulan belia Eco-outreach Team serta Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan yang telah membantu kita dengan program ini. Kita telah disegarkan di dalam kisah penciptaan dan aktivitinya yang menarik. Objektif kita iaitu membawa para peserta lebih menghayati, mendalami serta mengongsikan sabda Allah dengan cara yang lebih efektif dan kreatif melalui aktiviti-aktivti telah tercapai dan ini adalah satu permulaan yang sangat baik. “Tuaian memang banyak, maka itu kita memerlukan komisi ini untuk membantu kita,” katanya.  – Christina David / Catholic Sabah

Apa kata mereka?

“Saya bagi A++ untuk modul yang dihasilkan. Ianya sangat menarik dan pasti menarik tumpuan para pelajar serta memudahkan para pembimbing. – Evelyn Ah Kim (Penampang)

“Sangat menarik dan menghiburkan. Ianya di luar daripada duniawi dan memberi pengetahuan tentang bagaimana dunia ini diciptakan. – Celestina Cosmas (Penampang)

“Bermain sambil belajar adalah salah satu kaedah yang penting dan patut ada dalam pendidikan kanak-kanak khususnya dan modul ini sangat menepati keperluan itu”. – Lennie Payas

“Modul ini boleh menjadi salah satu cara untuk ibubapa terlibat dalam pembimbingan anak-anak mereka bermula dari rumah hanya dengan menggunakan alat bantu ini”. – Marius Danius (Kepayan)

“Saya mengalami pengalaman yang sangat membuka minda hari ini, saya sangat seronok dan hilang stress bila bermain dengan permainan ini.” – Evelyn (Papar)

“Program yang menimbulkan perasaan untuk menyayangi bumi dan segala ciptaan Tuhan. Menimbulkan kesedaran untuk menjaga alam sekitar serta menyayangi semua ciptaanNya”. – Rebecca (Kiulu)

“Tiga modul yang sangat menarik sebagai tambahan alat mengajar. Perlu sesuaikan mengikut tahap umur.” – Ernest (Terawi)

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top