Skip to content

Fokus perayaan Hari Bumi Ke-50 adalah tindakan untuk tangani perubahan iklim

KENINGAU – April 22, 2020 menandakan perayaan Hari Bumi Sedunia yang ke-50 di mana komuniti global akan mengambil tindakan, samada besar atau kecil, untuk mengubah kehidupan peribadi dan bumi bagi menangani perubahan iklim.

Walaupun berada dalam keadaan ‘lockdown’, namun ia tidak menutup suara mereka untuk berjuang bagi bumi, tetapi menuntut dari setiap insan, satu kesatuan baharu untuk terus menjaga bumi.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menjadi penghalang bagi umat Katolik di Keuskupan Keningau menyambut perayaan Hari Bumi dari rumah masing-masing.

Lissa Johannes, Pengerusi Komisi Keharmonian Alam Ciptaan Tuhan (KACT) bagi Keuskupan Keningau, berkata apa yang harus diberi fokus dalam perayaan Hari Bumi pada kali ini adalah tindakan setiap insan untuk menangani perubahan iklim sesuai dengan tema Hari Bumi 2020 iaitu ‘Climate Action’.

“Setiap tindakan sangat dihargai, walau sekecil mana pun ia mampu memberi manfaat untuk merawat Bumi yang semakin tenat ini. Bumi memerlukan suara, mata, telinga, tangan dan hati kita untuk pulih,” katanya di dalam pesan bertulisnya.

Menjawab kepada tema global ini, KACT menganjurkan beberapa aktiviti yang boleh disertai oleh setiap keluarga dari rumah masing-masing bagi tujuan meningkatkan kesedaran penjagaan alam sekitar dan sebagai tindakan konkrit menangani perubahan iklim.

Kata Lissa, “Bagi kategori Kanak-Kanak, KACT mengadakan ‘Earth Day Art Making’. Untuk menyertai aktiviti ini, mereka akan mencipta karya di rumah dan muat turun gambar karya ini di laman Facebook Komisi Keharmonian Alam Ciptaan Tuhan.

“Manakala bagi kategori Keluarga, setiap keluarga boleh menyertai aktiviti ‘Mustard Seed Faith’. Mereka diperlukan untuk menyediakan biji benih dan anak pokok untuk diberkati oleh Uskup Cornelius Piong selepas Misa Kudus Online pada 26 Apr.

“Semasa uskup memberkati biji benih dan anak pokok, keluarga di rumah juga memercik biji benih dan anak pokok mereka dengan air berkat.  

“KACT juga mengadakan kategori Terbuka ‘Earth Day Creative Photo Contest’ untuk penyertaan umat keuskupan. Peserta diperlukan untuk memuat turun gambar di laman Facebook KACT, yang menunjukkan tindakan menangani perubahan iklim mengikut kreativiti masing-masing contohnya Amalan Mesra Alam,” terang Lissa.

Semua aktiviti ini akan bermula pada 22 Apr sehingga 30 Apr.

Amalan Mesra Alam Hari Bumi Ke-50

Teks penuh pesanan ringkas Lissa Johannes adalah seperti berikut:

“Shalom, selamat menyambut Hari Bumi tahun 2020. Pada tahun ini, kita menyambut Hari Bumi yang ke-50. Walaupun kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun tidak menjadi penghalang untuk kita menyambut Hari Bumi dari rumah.

“Saudara-saudari, satu hari yang kita lalui pasti ada saja yang kita lihat dan bantu untuk mengubah Bumi ini menjadi lebih baik. Kita seringkali mengeluh dunia ini semakin panas. Kita sedih dan marah melihat alam sekitar yang semakin tercemar, juga banyak spesies yang diancam kepupusan.

Jadi, apa yang kita boleh lakukan? Tindakan dan perubahan apa yang kita mahu lakukan, semuanya terletak dalam tangan kita sendiri.  

“Sempena Hari Bumi pada tahun ini, marilah kita memberi fokus kepada tindakan untuk menangani perubahan iklim sesuai dengan tema iaitu ‘Climate Action’. Setiap tindakan sangat dihargai walau sekecil mana pun, namun mampu memberi manfaat untuk merawat Bumi yang semakin tenat ini. Bumi memerlukan suara, mata, telinga, tangan dan hati kita untuk pulih.

“Semoga apa yang kita lakukan untuk menjaga dan melindungi Bumi ini akan diberkati dan kita dapat hidup harmoni dengan semua alam ciptaan Tuhan. Namun kita sambut Hari Bumi bukan hari ini sahaja tetapi setiap hari adalah hari bumi. Terima kasih. Selamat Hari Bumi 2020.”- Linda Edward

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top