Skip to content

Eco-Outreach Team beri inspirasi penjagaan alam sekitar semasa Hari Bumi

KOTA KINABALU – Menyahut seruan Bapa Suci Fransiskus dalam tema Hari Belia Sedunia tahun ini “Hai anak muda, aku berkata kepadamu, bangkitlah”. Eco-Outreach Team telah memberi inspirasi penjagaan alam sekitar kepada belia dan umat di luar melalui pelbagai aktiviti sepanjang sambutan Hari Bumi Sedunia pada 22 April.

Eco-Outreach Team (EOT) merupakan komponen penting di bawah Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan Keuskupan Kota Kinabalu (Creation Justice Commission, CJC) yang bertindak sebagai pelaksana program khusus bagi membantu komisi di dalam perjuangan memberi kesedaran penjagaan alam sekitar kepada komuniti.

Kumpulan yang dianggotai oleh 10 orang belia yang datang dari beberapa paroki di bawah keuskupan telah dibentuk melalui latihan intensif tahun lalu bagi mempersiapkan mereka untuk misi pelayanan ekologi.

Walaupun Sambutan Hari Bumi pada tahun ini dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun untuk terus memupuk kesedaran memulihara alam sekitar di kalangan umat Katolik maka sambutan Hari Bumi diadakan secara online.

Program Hari Bumi tersebut turut mendapat perhatian dan maklumbalas daripada beberapa pemimpin belia di keuskupan ini.

Sr Dora

Sr Dora Obod dari Komisi Pastoral Belia Keuskupan Agung, berkata dia berasa sangat gembira melihat semangat para belia Katolik yang sangat aktif terlibat dalam aktiviti-aktiviti “care for the environment” yang bermanfaat terutama musim PKP ini.

“Ini sangat sesuai dengan pesan Bapa Suci Fransiskus kepada para belia di seluruh dunia sempena Hari Belia Sedunia 2020 yang berkata, “Bangunlah dari tempat dudukmu jika engkau melihat sesuatu yang indah dan ambillah keputusan bagi dirimu untuk berbuat demikan.

“Apa yang indah membangkitkan ghairah. Dan jika seorang belia itu terpikat pada sesuatu, atau lebih baik, pada seseorang, akhirnya akan bangun dan mulai mengerjakan hal-hal besar; dari yang dulunya mati, boleh menjadi saksi Kristus dan memberikan hidup bagi Dia.” 

“Oleh itu belia Katolik dipanggil untuk bersaksi dan bangkit berdiri untuk mempertahankan kehidupan. Maka amat sesuai melihat apa yang dilakukan oleh para belia terhadap bumi ini yang juga adalah satu tindakan memberi kehidupan. Mencintai bumi bererti menjaga kehidupan agar semua makhluk di bumi ini tetap hidup dan dipelihara sesuai dengan kehendak Tuhan.

“Semoga segala usaha seperti ini diteruskan dan menjadi contoh kepada para belia yang lain untuk sama-sama menjaga bumi ini,” akhiri Sr Dora sambil mengucapkan tahniah kepada CJC.

Denis

Dennis Patrick dari Komisi Belia yang sama mengikuti perayaan Hari Bumi melalui laman Facebook CJC dan sangat tersentuh dengan video perkongsian aktiviti oleh kumpulan belia dan outreach team kerana ia memberikan inspirasi dan membawa sukacita.

“Kepada kumpulan belia dan outreach team ini, saya berharap agar mereka terus berkarya dan berkongsi agar lebih ramai lagi yang menuruti jejak langkah murni mereka. Saya juga belajar perkara baru yang bermakna melalui perkongsian mereka. Apabila kita memberikan kebaikan kepada bumi, kita juga memberkati orang lain yang mendapat hasilnya dan ini juga merupakan pelayanan yang menyenangkan Tuhan,” kata Dennis.

Alex

Alex Poulus Jiran, pemimpin belia dari Kota Belud berkata idea program Hari Bumi baru-baru ini adalah sangat cantik dan luar biasa contohnya aktiviti recycling and upcycling.

“Saya kagum dan gembira kerana maklumat yang kumpulan EOT berikan itu bermanfaat serta berkaitan dengan Pendidikan Penjagaan Alam Sekitar. Saya sangat suka konsep ini kerana saya juga adalah salah seorang daripada mereka yang mencintai bumi. Tindakan yang mereka laksanakan ini adalah sangat membantu meningkatkan kesedaran di kalangan anak muda dan membantu masyarakat memahami serta menangani isu-isu persekitaran yang mempengaruhi kawasan kejiranan mereka.  Saya berharap agar mereka meneruskan semangat untuk mencintai dan menjaga alam sekitar menurut kehendak Tuhan Yesus,” kata Alex kepada EOT.

 Dia menyambung, “sehingga hari ini, Malaysia telah disenaraikan sebagai negara ke-8 terburuk di dunia dalam pembuangan sisa plastik (Malaysia’s Roadmap 2018-2030). Jadi, bawalah diri kita mulai saat ini untuk menyedari akan kepentingan bumi kerana bumi tidak memerlukan manusia, tetapi manusia memerlukan bumi. 

“Bangun dan sedarlah, Tuhan telah memberikan bumi kepada kita sebagai satu anugerah, maka jadilah baik dan cintai anugerah ini. Kebijaksanaan yang Tuhan berikan kepada kita mampu mengubah segalanya. Hidupilah kebijaksanaan bukan ketamakan,” akhiri Alex.

Emily

Sementara itu, Koordinator Eco-Outreach Team, Emily Gilbert melahirkan rasa gembiranya atas kejayaan program ini dan berkongsi cabaran yang dihadapi sepanjang persediaan program.

“Meskipun terdapat cabaran yang dihadapi seperti cara penyusunan program dan juga proses mengedit video-video yang memerlukan fokus penuh tetapi saya tetap bersyukur kerana mempunyai tim yang saling membantu.

“Melihat hasil pengendalian program sambutan Hari Bumi ini, saya berasa sangat gembira dan bersyukur kerana segala penat lelah dalam proses penyediaan bahan-bahan untuk aktiviti program tersebut tidak menjadi sia-sia.

“Pengendalian aktiviti ini memberikan satu pengalaman yang sangat berharga bagi diri saya dan saya berterima kasih kepada semua yang telah terlibat dalam menjayakan aktiviti ini bermula daripada aspek perbincangan sehinggalah pengendalian aktiviti program. Semoga ahli EOT semua terus bersatu melibatkan diri menjaga bumi ciptaan Tuhan,” kata Emily.

Selain membantu komisi dalam pelaksanaan aktiviti dan program kesedaran, EOT juga telah berjaya menghasilkan modul pendidikan khusus untuk pelajar PMG. Hasil kerja mereka turut diakui oleh para pembimbing PMG sebagai satu kaedah yang baik dan menarik serta membantu mereka dalam pembimbingan PMG. – Christina David

Video Sempena Hari Bumi

This Post Has One Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top