TERAWI – Seramai 40 kanak-kanak telah menerima Sakramen Pembaptisan pada…
Kemuncak Jelajah 2020 Penampang dirai dengan Pesta Kerahiman Ilahi
PENAMPANG – Inisiatif julung kali, Jelajah 2020, anjuran Komiti Kerasulan Kerahiman Ilahi (KKKI) St Michael Penampang, akan diraikan esok, 19 Apr, dengan perayaan kemuncak Misa Pesta Kerahiman Ilahi.
Acara kemuncak itu yang sepatutnya dijalankan di Gereja Divine Mercy Maang dengan kehadiran umat dan komiti-komiti Kerahiman Ilahi paroki, kini akan diraikan secara rohani dalam Misa Kudus yang disiar langsung secara online.
Jelajah 2020 telah dilancarkan dalam Misa Pengutusan pada 7 Jan yang lalu oleh paderi paroki, Fr Wilfred Atin di Gereja St Michael.
Program ini telah menjalankan beberapa aktiviti termasuk lawatan komiti ke semua zon paroki dan beberapa kawasan luar dan berakhir dengan acara kemuncak Misa Pesta Kerahiman Ilahi yang jatuh pada Minggu Paska kedua dalam kalendar liturgikal Gereja Katolik.
Manusia merancang namun Tuhan yang menentukan. Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa pada pertengahan bulan Mac, semua aktiviti KKKI terpaksa dihentikan bagi mematuhi perintah tersebut.
Liza Stephen Kuin, Koordinator Kerasulan berkata, “Tinggal Zon Buayan dan Zon Terian sahaja yang tidak sempat kami jelajahi oleh kerana PKP.
“Selesai semua lawatan ini, sepatutnya semua Komiti Kerahiman Ilahi dari lapan zon paroki akan berkumpul bersama-sama meraikan Minggu Kerahiman Ilahi pada Misa 19 April jam 3pm di Gereja Divine Mercy Maang,” kata Liza.
Namun sejak PKP, Misa Kudus ini dan semua aktiviti fizikal telah ditiadakan. Walaupun pergerakan fizikal tersekat, namun umat tidak berhenti berdoa. Kata Liza, “Komiti Kerasulan Kerahiman Ilahi Keuskupan Agung KK telah menyediakan Doa Novena sembilan hari dan ini yang kami gunakan untuk mempersiapkan diri menyambut Pesta Kerahiman Ilahi esok.”
Bagi KKKI St Michael, Liza berkata mereka telah mencadangkan beberapa ketetapan rohani, “Sebelum Misa Online Minggu Kerahiman Ilahi, umat akan melakukan Doa Pertobatan secara senyap dengan segenap hati dan berdoa Rosari Kerahiman Ilahi bersama keluarga.
“Semasa Misa Kudus, umat dijemput melakukan Komuni Kudus secara rohani dan percaya bahawa Tuhan Yesus sungguh-sungguh ingin memberikan Tubuh dan DarahNya kepada setiap peribadi.
“Selesai Misa Kudus, umat dijemput lagi melakukan Litani – Doa Pujian kepada Kerahiman Ilahi sebagai tanda pujian dan terima kasih atas KerahimanNya dan memberikan penghormatan imej Kerahiman Ilahi di rumah masing-masing,” kata Liza.
Sebelum krisis pandemik COVID-19 berlaku, sebuah seminar dua hari Jelajah 2020 telah dijadualkan untuk diadakan pada Jun tahun ini bersama jemputan paderi khas dari Indonesia. Seminar anjuran KKKI St Michael Penampang dan KKKI peringkat Keuskupan Agung ini terbuka kepada semua umat. Namun buat masa ini, belum ada ketetapan akhir mengenai seminar tersebut. – Linda Edward
This Post Has 0 Comments