TERAWI – Seramai 40 kanak-kanak telah menerima Sakramen Pembaptisan pada…
Umat diajak bersikap positif sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan
MEMBAKUT – “Yesus Kristus sudah menang, dan kebangkitannya membawa berkat kepada kita,” demikian pesanan paderi paroki St Patrick Membakut, Fr Benedict Daulis Runsab sempena sambutan Paska tahun ini.
Pesan beliau yang dikongsikan oleh Komiti Komsos melalui media sosial mengajak semua umat agar bersikap positif selama menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa kedua. Pesannya lagi, jika umat melihat situasi ini secara negatif, umat pasti akan kehilangan semangat dan kekuatan untuk merayakan Paska bersama keluarga. Jika dilihat dari sisi positif pula, Fr Benedict mahu semua keluarga untuk merapatkan hubungan kekeluargaan dengan berdoa dan merayakan Misa dalam suasana kekeluargaan.
Pengerusi MPP, Samuel Kula Salimpah berkata, walaupun sambutan Paska tahun ini tidak sama seperti tahun-tahun yang lepas, umat perlu bersyukur kerana masih berkesempatan merayakan Misa secara online. Maka dengan itu, sukacita atas kebangkitan Kristus harus diteruskan biarpun dalam suasana yang terbatas.
Umat paroki St Patrick Membakut pada tahun ini menyaksikan Minggu Suci dan Hari Minggu Paska dirayakan secara sederhana dan mengikut kreativiti keluarga masing-masing.
Bagi perayaan Hari Minggu Palma misalnya, banyak keluarga telah menghias kediaman masing-masing dengan daun palma, menggantungnya di sekeliling pintu masuk rumah atau di altar masing-masing.
Bagi merayakan Hari Khamis Putih, umat telah menyahut seruan Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong untuk melakukan satu sesi pembasuhan kaki bagi anggota keluarga selepas upacara sembahyang. Sesi ini dilakukan di antara ahli keluarga, sambil berdamai di antara satu sama lain.
Bagi upacara penghormatan salib semasa Jumaat Agung pula, umat telah mengikuti upacara sembahyang secara online dan melakukan upacara penghormatan Salib bersama keluarga.
Semasa upacara sembahyang Malam Paska, ketua keluarga mengambil peranan utama di dalam memberkati ahli keluarga dengan air berkat dan pembahagian cahaya (lilin) di antara sesama anggota keluarga.
Semasa Hari Minggu Besar Paska, suasana terasa lebih meriah kerana hampir semua keluarga yang dihubungi selepas upacara sembahyang, sibuk menyediakan sedikit jamuan istimewa untuk ahli keluarga makan bersama sebagai tanda kesyukuran Paska.
Peter Paulus, Pengerusi Komsos paroki berkata, di sebalik kerisauan terhadap penularan COVID-19, Paska tahun ini lebih membawa erti yang mendalam bagi team KOMSOS paroki kerana umat amat bergantung kepada komiti ini untuk menyampaikan ketepatan maklumat mengenai Misa Kudus dan upacara lain secara online. Bukan itu sahaja, malahan pesanan khusus Bapa Uskup melalui surat-surat pastoral sepanjang PKP, serta pesanan Paderi Paroki dan Pengerusi MPP yang disebar luaskan secara online juga merupakan satu usaha gigih yang dilaksanakan oleh komiti ini agar umat di mana sahaja mereka berada akan dapat menerima maklumat yang tepat dan cepat.
“Saya gembira dengan penerimaan umat terhadap cara baharu melaksanakan Misa secara online, tetapi saya juga merasa amat sedih bagi umat yang berada di stasi luar yang tidak mempunyai talian internet ataupun talian internet yang kurang memuaskan. Mereka tidak dapat mengikuti misa kudus sepanjang PKP berlangsung. Saya merasa sedih kerana KOMSOS tidak mampu berbuat apa-apa untuk memperbaiki masalah seperti ini,” kata Peter.
Bagi MPP St Patrick Membakut dengan kerjasama Komiti Pembangunan Insan (OIHD) paroki, mereka sentiasa memantau keadaan kebajikan umat dari semasa ke semasa sepanjang PKP berlangsung. Satu dana khas telah diperuntukkan oleh MPP untuk membantu umat yang mengalami masalah kebajikan terutama dari segi bekalan makanan. Selain itu, satu tabung khas kebajikan yang mengumpulkan derma dan sumbangan umat juga telah ditubuhkan untuk menyokong program bantuan ini. PKP kini telah memasuki fasa ketiga sehingga penghujung bulan April.
Belum ada tanda yang jelas bila pandemik COVID-19 akan berakhir. Namun begitu, umat dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi arahan PKP dan mengamalkan kebersihan. – KOMSOS SPM
Perkongsian Umat Paroki Membakut
KOMSOS menghubungi beberapa umat untuk mendapatkan perkongsian peribadi mereka mengenai sambutan Paska tahun ini tentang perasaan mereka yang merayakan upacara-upacara penting Minggu Suci seperti Minggu Palma, Khamis Putih, Upacara Penghormatan Salib, Malam Paska dan Hari Minggu Paska secara online dan bersama keluarga.
Erni Yohanes – Sejujurnya perasaan kami sekeluarga menyambut Paska tahun ini adalah sedikit sedih kerana tidak dapat bersama-sama dengan umat lain di dalam gereja. Tetapi selepas kesedihan itu, kami sekeluarga gembira kerana biarpun terpaksa merayakan upacara-upacara Misa Kudus dan Paska di dalam rumah, kami dapat berkumpul bersama keluarga dan masih boleh merayakan Paska kerana kami menyedari Yesus selalu menyertai.
Semasa upacara penghormatan salib, kesedihan amat terasa dan hati amat tersentuh. Biarpun salib yang terletak di hadapan kami sangat kecil, tetapi kami sangat merasai kehadiran Yesus.
Positifnya, semasa pembasuhan kaki, biasanya jika dilakukan di gereja, hanya orang terpilih yang akan dibasuh kaki. Berbeza dengan situasi kali ini di mana semua ahli keluarga dapat merasai perasaan dan suasana pembasuhan kaki. Namun begitu, tidak dapat menyambut Tubuh Kristus tetap menjadi sisi negatif yang utama.
Theresa Wong – Ini merupakan pengalaman pertama saya merayakan upacara sembahyang Paska di rumah. Perasaan ini agak asing kerana setiap tahun saya biasa merayakan Paska dengan meriah bersama umat-umat KKD di gereja. Suasana terasa sunyi tetapi kerana kehadiran ahli keluarga, kesunyian tidak memberi kesan yang besar kepada saya. Saya rindu menyambut Tubuh Kristus.
Winnie Alucyaus – Sebagai pengerusi KUK St Philip Sinoko, saya merasa sangat sedih kerana tahun ini saya tidak dapat merayakan Paska dengan meriah bersama umat. Tetapi di sebalik itu, saya amat terharu kerana walaupun PKP sedang berlangsung, keluarga terdekat yang tinggal berjiran dapat merayakan sembahyang Paska di rumah secara sederhana.
Betty Sakarias – Saya pengerusi KKD St Andrew Mangkalawit-Bokok mewakili umat di KKD ini amat bersyukur kerana dapat berkumpul bersama keluarga walaupun tidak semua ahli keluarga hadir. Saya merasa sedih dan terharu kerana tidak dapat merayakan Paska bersama umat lain sebagaimana kebiasaannya setiap tahun. Saya juga sangat rindu menyambut Tubuh Kristus.
Katekis Elvis Lawrence – Saya merasa sangat terharu kerana Minggu Suci dirayakan bersama keluarga masing-masing. Memang ada kerinduan untuk meryakan ibadat bersama umat namut saya tetap bersyukur umat dapat merayakan misa secara online atau panduan Ibadat yang telah diberikan oleh pembimbing rohani Komisi Katekis, Fr Rudolf Joannes. Inilah masanya kita menjadi gereja domestik kerana gereja itu adalah umat Tuhan iaitu diri sendiri.
This Post Has 0 Comments