TERAWI – Seramai 40 kanak-kanak telah menerima Sakramen Pembaptisan pada…
KHAMIS PUTIH: Cintakasih adalah identiti Kristiani kita
KENINGAU – Uskup Cornelius Piong berkata dalam Perjamuan Terakhir pada malam Khamis Putih, Yesus memberikan umatNya satu teladan yang telah menjadi identiti Kristiani kita iaitu cintakasih antara sesama.
Uskup memimpin Misa Khamis Putih yang disiarkan secara langsung dari St Francis Xavier di sini pada 9 Apr yang disertai lebih daripada 13,000 umat.
Uskup berkata pada malam Khamis Putih di mana Yesus tahu bahawa satu perkara buruk akan berlaku kepadaNya melalui pengkhianatan muridNya sendiri, Dia tetap menunjukkan cintakasih kepada mereka.
“Oleh kerana cintakasihNya yang begitu besar, Yesus tidak meninggalkan muridNya dan kita. Sebab itulah Dia berusaha meninggalkan kepada kita satu tanda cintakasih kekal walaupun berada dalam keadaan sedih kerana sudah dikhianati dan disangkal,” kata Uskup.
Gereja Katolik percaya bahawa pada Perjamuan Terakhir, Yesus telah menginstitusikan Ekaristi dan jabatan Imamat atau Kepaderian iaitu tanda cintakasihNya yang kekal, sebagai cara melanjutkan kehadiranNya secara peribadi kepada umat.
“Cintakasih yang sudah ditunjukkan Yesus, dalam penderitaanNya sepanjang Prapaska dan lebih-lebih lagi dalam Tri-Hari sebelum Paska, di mana Yesus merasa sunyi dan sepi, Dia tetap sungguh-sungguh mahu mengasihi,” kata Uskup.
Dalam masa genting akibat wabak coronavirus ini, umat juga merasa sunyi dan sepi seperti Yesus, namun demikian umat tetap dituntut oleh Tuhan dalam hal mengasihi kata Uskup.
“Yesus sudah menunjukkan cintakasih yang tiada syarat kepada kita, Dia juga ingin kita menunjukkan cintakasih yang sama terhadap satu sama lain, bukan saja kepada orang-orang yang kita sukai tetapi juga kepada orang-orang yang tidak menyukai kita,” sambungnya.
Selain daripada menginstitusi Ekaristi dan Jabatan Imamat, pada malam Perjamuan Terakhir, Yesus juga membasuh kaki murid-muridNya sebagai teladan kepada mereka untuk saling mengasihi.
Untuk ini, Keuskupan Keningau menggalakkan keluarga melakukan upacara pembasuhan kaki di rumah selesai Misa Kudus online sebagai ungkapan cintakasih antara sesama.
Di dalam Misa juga, Uskup Cornelius mengambil kesempatan menggesa individu dan keluarga untuk peka kepada panggilan Tuhan menjadi paderi atau religius, agar tenaga ini dapat melanjutkan kehadiran peribadi Tuhan di dunia.
“Melalui keluarga masing-masing, sentiasalah peka terhadap panggilan Tuhan menjadi paderi atau religius dan pemimpin-pemimpin gereja yang beriman dan bertanggungjawab,” katanya.
Menurutnya lagi, Gereja adalah ‘kita’ dan bukan uskup atau paderi sahaja dan kebajikan gereja adalah tanggungjawab umat bersama.
Gereja Katolik telah memasuki Tri-Hari Paska bermula malam Khamis Putih dan seterusnya Jumaat Agung untuk merayakan kesengsaraan dan kematian Yesus, dan kemudian Paska untuk merayakan kebangkitanNya.
Perintah kawalan pergerakan tidak mematikan semangat perayaan ini yang tetap diraikan atas talian melalui medium internet. Jutaan umat Katolik di seluruh dunia tetap menikmati Misa Kudus apabila kebanyakan diosis dan agensi berita Katolik membawa perayaan Minggu Suci kepada mereka menerusi media sosial seperti Facebook dan Youtube. – Linda Edward
This Post Has 0 Comments