Skip to content

Belia tetap semangat sambut Hari Belia Sedunia menerusi media sosial

WALAUPUN sedang melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ianya tidak mematahkan semangat para belia di seluruh Sabah untuk menyambut dan merayakannya Hari Belia Sedunia Ke-35 yang jatuh pada 5 April sempena Perayaan Minggu Palma.

Sepanjang hari tersebut media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp dibanjiri dengan kemeriahan ucapan Selamat Menyambut Hari Belia Sedunia dengan pelbagai gaya, cara dan kreativiti belia yang kebanyakan menggunakan plakad. 

Tema yang diambil oleh Gereja Katolik bagi tahun ini adalah “Hai anak muda, Aku berkata kepadamu, bangunlah” (Luk 7:14).

Dalam homili singkat Fr Nicholas Stephen melalui Misa Palma Online pada jam 9.00 pagi dari St Peter Clever Ranau, dia menyeru kepada semua belia, “Bangunlah… bangkitlah dari tidur, bangkitlah dari kemalasan dan kesia-siaan…Tuhan memanggilmu…anak muda aku berkata kepadamu.. Bangunlah!  Lakukanlah sesuatu untuk mengubah dunia ini…jadilah saksi Kristus yang hidup melalui perbuatan.”

Sementara itu Fr Roney Mailap yang kini berada di Manila Filipina, sempat menghantar mesej Hari Belia Sedunia kepada para belia di tanahair juga melalui online.

Katanya Pesta Belia Sedunia pada tahun ini berbeza daripada tahun-tahun sebelum yang biasanya diwarnai dengan pesta, lagu-lagu dan aktiviti-aktiviti bertenaga.

Tahun yang berbeza ini mencabar anak muda untuk “stay at home” akibat impak wabak coronavirus. Fr Roney berkata ini adalah ujian bagi para belia semua dan mengajak mereka merenung samada aktiviti bertenaga yang dilakukan selama ini mempunyai kesan mendalam terhadap iman mereka kepada Tuhan Yesus.

“Yesus yang selama ini kita agungkan dengan lagu-lagu pujian, dengan tarian-tarian yang hebat, akhirnya tahun ini kita tidak melakukan itu, adakah iman kita masih teguh?

“Tahun ini Kristus mengajak kita merayakan Pesta Belia ini dengan sedikit kesakitan, kepayahan, kerumitan, melihat ramai yang dijangkiti virus ini dan ada yang meninggal dunia.

“Ini juga menjadi renungan bagi kita bahawa Salib itu bukan sekadar untuk kita bersuka-ria tapi sebagai satu cabaran untuk benar-benar bersatu dengan Yesus. SalibNya yang Dia pernah pikul 2000 tahun yang lalu yang memang membawa kesakitan dan kerumitan tetapi akhirnya Dia menang dengan penuh jaya kerana telah bangkit dan telah memberikan kehidupan kekal,” katanya.

Fr Roney berkata “stay at home” adalah satu peluang bagi semua orang untuk menghidupkan sifat doa yang lebih senyap dan mewarta Berita Gembira melalui internet.

“Sungguhpun kita “stay at home”, ini juga peluang bagi kita untuk mengaktifkan hidup doa kita secara peribadi, secara lebih teratur, lebih bersifat retret dan rekoleksi dan membantu kita merenung Yesus dengan lebih mendalam.

“Walaupun tiada aktiviti di gereja tetapi kita masih boleh berdoa, masih boleh membaca Firman Tuhan dan kita boleh menggunakan media sosial sebagai kesempatan untuk mewartakan Sabda Tuhan,” ujar Fr Roney.

“Semoga Pesta Belia yang kita rayakan secara “solemn” atau secara diam-diam “stay at home” ini tetap bersemarak kerana iman kita kepada Tuhan tidak tergantung hanya kepada pesta-pesta dan aktiviti-aktiviti hebat.

“Iman terhadap Tuhan adalah bersifat peribadi dan komuniti walaupun kali ini komuniti kita hanya bersifat persekutuan rohani atau “spiritual communion” dengan sesama,” katanya. Christina D / Linda E

Baca perkongsian dan ucapan Hari Belia Sedunia oleh para belia

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top