Skip to content

‘Double Ugou’ inspirasi orang lain memulakan gaya hidup sisa rendah

SIAPA sangka sebuah video viral tentang penyu yang mempunyai penyedut minuman plastik tersangkut di dalam hidungnya, boleh mengundang perubahan hati dan perubahan gaya hidup yang nyata dalam seseorang?

Itulah kisah benar di sebalik Double Ugou, nama yang dimulakan oleh dua wanita muda yang mempromosi barangan sisa sifar dengan aspirasi untuk menggalakkan gaya hidup bebas plastik.

Bermula dengan hanya penyedut minuman bambu pada awal usaha giat mereka, kini telah berkembang kepada banyak keperluan ‘hijau’ yang lain seperti ecobag untuk membeli-belah, spork kayu, berus gigi bambu, kapas telinga bambu, beg drawstring dan lain-lain lagi. Baru-baru ini juga, mereka dipaparkan di saluran tempatan TV Okey atas usaha ini.

Roslia Dumis, 32, berasal dari Inanam dan Rosevia Francis, 29, dari Keningau, belajar di Universiti yang sama dan kini menjadi pensyarah di Universiti tempatan di KK. Mereka memulakan Double Ugou pada tahun 2018 untuk memberi inspirasi kepada masyarakat untuk memulakan gaya hidup sisa rendah, bukan melalui kata-kata, tetapi lebih melalui tindakan.

Bagaimana kamu memulakan Double Ugou?

Rosevia: “Apabila kami melihat video penyu yang viral, kami menangis kerana kami sensitif terhadap perkara seperti itu.  Dengan segera ia membuat kami  berfikir tentang peranan seseorang sebagai manusia dan bagaimana kita boleh membantu menjadikan alam sekitar tempat yang lebih baik untuk hidup kerana kita semua adalah sebahagian daripadanya.

“Jadi kami mula berfikir dan kami berkata mengapa tidak gunakan sumber semulajadi seperti bambu untuk menggantikan penyedut minuman plastik, jadi produk pertama kami adalah penyedut minuman bambu.

 “Itulah permulaan Double Ugou.”

Adakah itu permulaan gaya hidup sisa sifar bagi kamu berdua?

Rosevia: “Kurang tepat untuk kami mengatakan bahawa kini kami menjalani gaya hidup sisa sifar, kami lebih memimpin gaya hidup sisa rendah. Di rumah, kami menggunakan produk kami sendiri sebagai keperluan harian. Kami menggunakan beg membeli-belah sendiri dan berus gigi bambu. Kami beralih ke span pencuci semulajadi iaitu loofah dan bukan lagi span plastik.

“Kami tidak bertindak melampau untuk memaksa orang lain; kadang-kala ada yang akan marah apabila mereka melihat seseorang itu menggunakan plastik. Kami percaya kepada langkah-langkah kecil. Contohnya, kami menggalakkan orang ramai menggunakan ecobag.

“Walaupun kita terlupa untuk membawanya kali ini, tidak mengapa, kita boleh membawanya lain kali, sekurangkurangnya ada kesedaran.

“Aspirasi kami adalah untuk memberi inspirasi kepada orang lain untuk memulakan kehidupan sisa rendah, sukar juga kalau terus melompat kepada sisa sifar.”

Roslia: “Mengamalkan gaya hidup sisa rendah adalah satu kegembiraan yang sebenar, contohnya apabila saya pergi ke pasar raya dan saya menolak plastik yang ditawarkan oleh kaunter, hati saya berasa aman.”

Apakah cabaran untuk memulakan gaya hidup sisa rendah?

Rosevia: “Pada awalnya susah. Orang mentertawakan kami, terutama apabila mereka melihat kami menjual dan menggunakan penyedut minuman bambu. Tetapi kami bertahan dan apabila keluarga dan saudara saya melihat ini, lama-kelamaan mereka ikut.

“Seperti yang kita tahu, sebuah keluarga terdiri daripada personaliti yang berbeza, tidak semua anggota boleh menerima pilihan gaya hidup ini. Tetapi saya sedar apabila saya mula menggunakan bahan yang berbeza, dan mereka melihatnya, ini membuka mata mereka dan perlahanlahan mereka mulai ikut dan mengamalkan sisa rendah. Jadi ya saya boleh katakan sekarang kami menjalani gaya hidup sisa rendah di rumah, dan saya mempunyai 11 adik-beradik semuanya.”

Roslia: “Untuk memulakan gaya hidup ini, peranan keluarga adalah penting. Jika tidak ada sokongan, anak-anak akan merasa kecil, dan mereka akan cuba mencari sokongan dari luar. Lebih sukar untuk bermula dalam keluarga tradisional kerana ini bukan amalan biasa.”

Bagaimanakah penerimaan keluarga kamu sekarang mengenai apa yang kamu lakukan?

Roslia: “Saya sangat bersyukur kerana keluarga saya sangat menyokong. Apabila saya memberitahu mereka yang saya menjalani gaya hidup sisa rendah, mereka menerima dengan baik, walaupun mereka tidak faham, tetapi mereka menyokong saya. Ini membuatkan saya mahu buat lebih banyak lagi.

“Tetapi orang tua sukar (untuk berubah). Saya tunjuk mereka perlahan-lahan, saya akan memberitahu, “Mak, jangan guna plastik lagi, guna ini (ecobag).”

“Sebagai contoh, mereka juga suka membakar sampah, jadi saya akan menjelaskan kepada ibu saya tentang kesan pembakaran kepada udara kerana dia tidak faham tentang perkara ini.”

Rosevia: “Sekarang ibu saya akan menghantar gambarnya membuat ecobricks. Adik-beradik saya membeli produk kami. Kemudian di rumah kami akan mengadakan sesi perkongsian, saya akan tunjuk video seperti video penyu tu kepada anak-anak buah saya.

“Mendidik golongan muda adalah baik, untuk memberi mereka kesedaran awal tentang pentingnya mengamalkan sisa rendah pada usia muda.

“Sekarang, kalau saya terlupa membawa penyedut minuman bambu dan pelayan membawa minuman saya dengan penyedut minuman plastik di dalamnya, anak buah saya akan mengingatkan saya agar tidak menggunakannya. 

“Mula kecil, kita tidak akan dapat lihat impak dengan segera. Memang mencabar, apa lagi di kampung kerana ia adalah perkara baharu.”

 Ceritakan tentang produk anda

Rosevia: “Kami mereka bentuk kebanyakan produk dan pembungkusan kami. Roslia yang membuat kebanyakan reka bentuk. Apa yang baik tentang gaya hidup sisa sifar atau sisa rendah ini ialah kami dapat mengenali masyarakat tempatan yang juga melakukan perkara yang sama.

“Sebagai contoh, kami dapati ada orang tempatan Sabah yang membuat spork kayu ini. Kami menggalakkan mereka untuk menghasilkan produk hijau seperti ini. Straw bambu kami dihasilkan oleh penduduk tempatan daripada Tamparuli, yang juga seorang kawan.”

Roslia: “Idea (reka bentuk) sukar datang pada peringkat awal. Saya perlu memikirkan tentang warna, harus ada banyak perkembangan idea. Jadi sebab mengapa reka bentuk kami hanya berwarna hitam dan putih kerana kami tidak mahu menggunakan banyak warna, ini akan membantu meminimumkan kesan pencetakan. “

Apakah harapan anda?

“Kami berharap agar lebih ramai orang mula sedar bahawa gaya hidup seperti ini akan membantu penjagaan alam sekitar. Kami percaya langkah kecil seperti menolak penyedut minuman plastik akan menghasillkan impak yang lebih besar di masa hadapan. Kami berharap lebih ramai orang akan menggunakan penyedut minuman bambu seperti yang kami jual ini, atau penyedut minuman besi, asalkan bukan penyedut minuman plastik. Langkah-langkah kecil akan membawa kepada perubahan besar.”

 Ikuti Double Ugou di Instagram @ doubleugou. – Linda Edward

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top