skip to Main Content
HBOAS Perkukuh Identiti Belia Orang Asal

HBOAS perkukuh identiti Belia Orang Asal

KENINGAU – Hari Belia Orang Asal Sabah (HBOAS) kali ke-dua telah mengumpul lebih dari 120 belia Orang Asal dari 20 suku kaum Sabah di Kg Rantai, Apin-Apin, di sini pada 13-16 Sep anjuran Majlis Belia Orang Asal Sabah, di bawah naungan NGO PACOS Trust.

Sebagai wadah perjumpaan tahunan Majlis-Majlis Belia Orang Asal Sabah, HBOAS membincangkan isu, cabaran dan halatuju belia Orang Asal dalam era baru serta membina daya tahan belia dalam memperkukuhkan identiti Orang Asal dan berkesempatan juga menyambut Hari Malaysia Ke-62.

Belia Orang Asal pelbagai bangsa dan agama yang hadir terdiri daripada Murut (Ahong, Baukan, Tahol, Kalabakan, Paluan), Dusun (Tindal, Kujau, Labuk, Bundu, Begak, Kimaragang, Sonsogon, Mangkaak, Tatana, Sukang), Kadazan, Dumpas, Sungai, Tombonuo, Sungai dan Rungus.

Tema HBOAS kali ini adalah “Belia Pewaris Identiti dan Hak Orang Asal”.

      Di dalam sesi Penanda Identiti, belia menyelami identiti budaya, dan tradisi turun temurun yang diwarisi daripada nenek moyang seperti Bahasa, kraftangan, pembinaan, teknologi, kepercayaan, pertanian, kepimpinan, makanan dan minuman tradisi, adat istiadat, pakaian dan peralatan muzik.

Peserta berkata sesi ini membuka mata mereka kerana masih banyak lagi yang kurang diketahui dan ini menimbulkan minat mereka untuk meneroka lebih banyak lagi tentang identiti dan budaya sendiri.

Sebuah Resolusi Belia telah didokumentasikan sebagai ‘Halatuju Belia Orang Asal’ hasil perbincangan isu-isu masa kini, cabaran yang dihadapi dan strategi pemantapan belia dalam ceramah bertajuk “Belia Orang Asal di abad ke 21” oleh wakil PACOS Trust. Sebagai tanggapan kepada perkara ini, setiap Majlis Belia diberi peluang untuk merangka aktiviti di tempat masing-masing.

Antara aktiviti lain HBOAS adalah pertandingan memasak masakan tradisi yang menyaksikan para belia menunjukkan bakat dan pengetahuan dalam menyediakan hidangan tradisi. Selain itu, aktiviti sukaneka tradisi juga begitu menarik sekali dengan acara-acara mencabar seperti memanjat pokok pinang, rampanau, moniri, merambat dan sebagainya yang sememangnya jarang dilihat pada masa kini.

Para belia juga meraikan kesatuan dalam Malam Budaya di mana setiap Majlis Belia Orang Asal daerah masing-masing menyajikan persembahan kumpulan sama ada lakonan, tarian atau nyanyian mengikut penanda Identiti yang telah ditentukan dalam sesi pertama.

Malam Budaya, yang dirasmikan oleh Puan Anne Lasimbang, Pengarah Eksekutif PACOS Trust, memberi semangat dan kesedaran kepada belia orang asal untuk mempertahankan identiti dan hak mereka. Turut hadir adalah penduduk-penduduk di Kg Rantai yang terhibur dengan setiap persembahan pada malam tersebut.

Pada hari terakhir, sambutan Hari Malaysia dan Ulang Tahun Ke-2 Hari Belia Orang Asal Sabah dijalankan dengan upacara simbolik menanam pokok buah-buahan di sekitar Kg Rantai sebelum gotong-royong dan bersurai balik.

Edisi pertama HBOAS telah diadakan tahun lalu di ILMAN, Penampang. RAE

This Post Has 0 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top