Uskup Agung KL ajak umat berdoa untuk mengakhiri pandemik
KUALA LUMPUR: Berikutan pandemik Covid-19 yang berpanjangan dan atas keprihatinan mendalamnya terhadap kesejahteraan umat awam, Uskup Agung Julian Leow telah menulis surat pastoral pada 9 Julai lalu untuk mengajak umat berdoa di hadapan Sakramen Mahakudus pada 15 Julai 2021 ini.
Dan sebagai tambahan, sempena Perayaan Sta Maria dari Gunung Karmel pada 16 Julai, prelatus itu meminta keluarga mahupun individu untuk berdoa Rosari dengan merenung Peristiwa Sedih, dan mempercayakan kepada Bonda Tuhan agar pandemik ini segera berakhir.
Berikut merupakan Surat Pastoral Uskup Agung Julian:
Sekalipun aku berjalan dalam lembah kekelaman, aku tidak takut bahaya (Mazmur 23:4)
Saudara-saudari terkasih dalam Tuhan,
Setiap hari berlalu, kita berhadapan dengan ancaman kekhuatiran berpanjangan sehingga mendorong saya untuk menulis surat pastoral ini kepada anda kerana keprihatinan mendalam.
Kita membaca tentang pandemik Covid-19 yang berpanjangan dan akibatnya yang mencengkam — jumlah kes baru setiap hari yang lebih tinggi dan kadar kematian yang menyedihkan, terutama di negeri Selangor, walaupun terdapat sekatan pergerakan yang berlanjutan. Lebih daripada sebelumnya, kita juga menyaksikan kebenaran pahit dan kesan kejam terhadap orang miskin dan lemah, termasuk kanak-kanak.
Melangkau kesan ekonomi, kesejahteraan sosial, emosi dan psikologi yang mendalam menyebabkan ramai orang terkesan.
Apa yang sudah menyakitkan di kebanyakan aspek semakin diperburuk dengan ketidakstabilan politik semasa – seharusnya ini adalah masa untuk mengetepikan persaingan politik dan bersatu sebagai rakyat Malaysia yang bersatu untuk memerangi pandemik ini.
Gangguan yang mengerikan ini telah menyebabkan ketakutan dan kegelisahan luar biasa, lebih malang, ia juga menjadikan ramai orang jatuh ke dalam keadaan tidak berdaya dan putus asa.
Saya tahu bahawa dengan situasi yang suram yang kelihatan tidak memberikan harapan bahawa ia akan berakhir segera.
Namun, dengan latar belakang ini, apa yang tetap tidak berubah adalah kita adalah umat yang berdasarkan kepercayaan bahawa Tuhan selalu bersama kita – ya, bahkan dalam ribut yang berpanjangan ini.
Semakin ramai individu, Gereja dan organisasi yang memenuhi keperluan manusia sememangnya menjadi tanda bahawa Tuhan ada bersama kita, dan bahawa manusia dapat dan akan menang ketika menghadapi kesusahan dan cabaran.
Saya menulis kepada anda hari ini pada masa yang merisaukan dan tidak menentu ini untuk mengingatkan dan meyakinkan anda tentang janji yang tidak tergoyahkan ini: ‘Sekalipun aku berjalan dalam lembah kekelaman, aku tidak takut bahaya sebab Engkau berserta ku'(Mazmur 23:4)
Dengan semua kebaikan yang terjadi di sekeliling kita, marilah kita mengingati bahawa doa yang berterusan akan menambat kita dalam kesedaran bahawa kita tidak bersendirian.
Mengingat kata-kata Yesus, “Marilah kepadaKu, semua yang letih lesu dan berbeban berat, Aku akan memberi kelegaan kepadamu” (Mat 11:28), saya mengajak semua umat Katolik di Keuskupan Agung Kuala Lumpur untuk bergabung dengan saya dan bersatu berdoa dalam talian di hadapan Sakramen Mahakudus pada Khamis, 15 Julai, 9:00 malam – 10:00 malam.
Sebagai tambahan, pada hari Jumaat 16 Julai 2021 (Peringatan Bonda Maria dari Gunung Karmel), marilah kita bersama-sama memohon bantuan Maria, Bonda kepada Tabib Ilahi. Sebagai individu atau keluarga, di rumah anda masingmasing, berusahalah secara sedar untuk berdoa Rosari dengan merenung Peristiwa Sedih Tuhan kita Yesus Kristus.
Semoga kemenangan-Nya atas dosa dan kematian-Nya di kayu salib membebaskan kita pada masa percubaan ini.
Mengakui bahawa Tuhan berkuasa sepenuhnya dan Dia mempunyai kuasa untuk mengubah hidup kita, marilah kita semua ‘berdoa tanpa henti’. Semoga perlindungan berterusan dari Tuhan tetap kekal bersama anda dan orang tersayang.
Yang Mengasihi
Uskup Agung Julian Leow Beng Kim
9 Julai 2021
SOURCE: Herald Malaysia Online
[…] Read the article in Bahasa Malaysia Version […]