TERAWI – Seramai 40 kanak-kanak telah menerima Sakramen Pembaptisan pada…
Reaksi Umat Mengikuti Misa Online
MEMBAKUT – “Kawalan pergerakan adalah satu rahmat yang tersembunyi di sebalik kesukaran hidup,” demikian kata-kata Helenna Henna Ensil, seorang ibu dan umat paroki St Patrick Membakut ketika dihubungi oleh Komsos.
Beliau yang telah mengadakan upacara Jalan Salib bersama keluarga dan juga Misa Kudus merasa bangga dengan kerjasama yang diberikan oleh semua ahli keluarganya.
“Saya tidak pernah merasa hubungan serapat ini dengan keluarga, lebih-lebih lagi dengan anak-anak yang sudah meningkat remaja. Saya gembira mereka berada di rumah dan berdoa bersama. Namun demikian, saya tetap rindu untuk menyambut Tubuh Kristus,” katanya.
Bagi Paroki St Patrick Membakut, Fr Benedict Runsab juga telah merayakan Misa Kudus secara online dan disiarkan di dalam laman Facebook Komsos St Patrick Membakut.
Di dalam homilinya, beliau mengingatkan semua umat
agar tetap berdoa terutama sekali pada masa ini di mana dunia sedang mengalami
pencobaan. Pada mulanya, wujud keraguan untuk meneruskan Misa Kudus hari minggu
kerana perintah kawalan pergerakan yang sedang dilaksanakan di seluruh negara. Bagaimanapun
dia bersyukur kerana dapat mengadakan Misa Kudus dalam situasi sederhana namun
dapat disaksikan oleh umat dari rumah.
Perintah kawalan pergerakan menyebabkan umat-umat Katolik di daerah ini sentiasa berwaspada dalam menjalani kehidupan harian, namun rata-rata dari mereka yang sempat dihubungi berkata, situasi tersebut malah memberi impak positif kepada keluarga masing-masing. Ini kerana mereka mempunyai banyak masa terluang bersama keluarga dan berkesempatan berdoa bersama.
Bagi keluarga Alphonsus Biniki, Misa Kudus secara online dirayakan bersama sebuah lagi keluarga jiran. “Merayakan misa kudus seperti ini dalam suasana kekeluargaan adalah lebih santai dan dapat mengurangkan tekanan perasaan terhadap situasi semasa di negara kita,” katanya ketika dihubungi.
Berlainan pula dengan Mary Echin Basintal yang telah mengadakan upacara sembahyang peringatan arwah 40 hari bagi salah seorang ahli keluarganya. Kesedihan amat ketara kerana upacara hanya dapat dihadiri lebih kurang 15 orang ahli keluarga dan jiran yang berhampiran.
“Pada asalnya semua saudara mara mahu hadir. Tetapi kerana kawalan ini, saudara yang tinggal di kampung sebelah juga tidak dapat menghadirkan diri.” Namun begitu dia memahami peraturan yang ditetapkan dan berharap keadaan akan kembali pulih seperti sedia kala.
Walaupun Sabah diisytiharkan dengan kes ketiga tertinggi COVID-19 di Malaysia, umat Katolik Membakut tetap tenang merayakan upacara Jalan salib dan Misa Hari Minggu secara online bersama keluarga. Misa Kudus dalam Bahasa Melayu dan Inggeris yang disiarkan secara langsung dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu dan Keningau rata-ratanya disambut gembira dan dirayakan dengan hati yang terbuka. – KOMSOS Membakut
This Post Has 0 Comments