Skip to content

Pemberkatan dan perasmian Kapel Baharu Kg Pahu, Kiulu

Kiulu – Rabu, 12 Oktober 2022 merupakan tarikh bersejarah bagi penduduk umat  Katolik  kampung Pahu kerana ia adalah tarikh perasmian Kapel Baharu mereka  yang bernama  Santo Petrus  atau Chapel St. Peter. Perasmian Chapel itu telah disempurnakan  oleh paderi Paroki Rev. Fr. Michael Modoit.

Acara pemberkatan Chapel  itu dimulakan pada jam 10 pagi. Fr. Michael mengucapkan  doa pemberkatan di luar pintu gereja baharu , disusuli  dengan gimik pemotongan  reben, pembukaan tirai plak perasmian dan seterusnya menandatangi  plak tersebut  melambangkan  pembukaan gereja  secara rasmi. Setelah pintu gereja di buka,  umat kemudiannya masuk  ke dalam secara bergilir-gilir untuk  memulakan perayaan Misa Kudus perasmian.       

Para jemputan yang hadir untuk meraihkan  perasmian Chapel baharu itu datang dari  Pusat Paroki St. Pius Bundu Tuhan, beberapa perwakilan dari  berbagai  Chapel  berdekatan di sekitar  kampung Pahu seperti  Kg. Lokos, Kg. Tiong, Kg.Kotunuan, Kg. Wasai, Kg. Koung, malah juga ada  yang datang  dari St. Joseph Tombongan, Kiulu.  

Sewaktu homili dalam Misa Kudus perasmian tersebut, Fr. Michael  telah menyentuh serba sedikit tentang kepentingan gereja sebagai tempat umat berkumpul  untuk berdoa,  beribadat dan dikuduskan, dimana  roti dan anggur dipersembahakan menjadi  Tubuh dan darah Kristus,  yang merupakan Santapan rohani umat.  Menurut Fr. Michael, ini sejajar dengan moto rohani St. Pius X, Santo penaung Paroki  Bundu Tuhan yang mengatakan bahawa  perjamuan ekaristi adalah kekayaan  sebenar  dalam memperoleh  kekudusan untuk memasuki syurgawi.

Sebelum menyanyikan lagu penutupan pada Misa Kudus  Pemberkatan dan Perasmian Chapel  baharu itu, beberapa ucapan telah disampaikan. Selain ucapan daripada paderi paroki,  turut  berucap adalah saudara Marius Silipan, selaku Pengerusi KPUK merangkap Pengerusi Penganjur perasmian Chapel baharu St. Peter Pahu , Katekis  Joannes Modingin yang sudahpun melayani umat selama 40 tahun di Chapel St. Peter Pahu, dan  Saudara Joseph Akiu Dusun, pengerusi Majlis Pastoral Paroki (MPP) Bundu Tuhan  yang  telah bertungkus lumus dalam segala urusan  untuk membolehkan bangunan baharu Chapel St. Peter didirikan dan seterusnya dirasmikan pada hari itu .

Tidak dapat dinafikan berbagai  cabaran yang telah dihadapi  oleh umat-umat di Kg. Pahu dalam proses pembinaan bangunan baharu itu.    Contohnya  dari segi kewangan dan dengan pandemic Covid-19 yang telah melanda diseluruh dunia, maka pembinaan Chapel baharu  yang telah dimulakan pada penghujung tahun 2019 telah tergendala  selama 2 tahun.  Namun dengan  berkat Tuhan, dan hasil kerjasama, komitment, serta kesatuan yang teguh dari semua umat dalam setiap usaha  akhirnya bangunan dapat dirasmikan. Harapan dari kalangan  mereka sendiri agar kerjasama dan komitment yang sama dari semua umat  dapat diteruskan di masa masa yang akan datang. 

Pengerusi MPP turut memperingatkan  umat di Kg. Pahu agar menjaga bangunan baharu itu dengan baik dan menggunakannya untuk menjalankan aktiviti lainnya yang dapat membantu perkembangan kerohanian semua umat .

Fr. Michael, dalam ucapan perasmiannya juga telah mengutarakan  sentiment yang sama dengan mereka yang telah berucap mendahuluinya. Mereka semua menyatakan rasa kegembiraan dan ungkapan kesyukuran kepada Tuhan  atas anugerahNya yang besar,  diterima melalui  para penyumbang dan penderma yang bermurah hati sehingga  terbinalah  rumah ibadat yang Baharu itu.

Penyumbang  utama  yang telah di sebut khas ialah Datuk Seri Penglima Victor S. Paul. Beliau lah yang telah banyak memberi bantuan  ikhlas untuk pembangunan gereja  bukan sahaja  di  keuskupan Agung Kota Kinabalu, malah juga di seluruh keuskupan Keningau dan Sandakan. Malahan  kata Fr. Michael, sewaktu dia melayani  selama 8 tahun di Paroki Bundu Tuhan, Datuk Victor dengan ikhlas telah membiayai  pembinaan sebanyak 15 buah Chapel baharu di stasi luar Paroki tersebut.   Paroki Bundu Tuhan, mempunyai 30 buah Chapel  stasi luar kesemuanya. Semoga Tuhan sendirilah yang dapat memberkati dan membalas jasa baik beliau dan keluarga, katanya.

Lawatan Fr. Michael untuk merasmikan Chapel Baharu di Kampung Pahu pada kali ini merupakan yang terakhir  sebelum beliau berpindah untuk melayani  ke Paroki  dimana ia baru ditugaskan  iaitu di Holy Nativity, Terawi.  Oleh itu  Fr. Michael dalam ucapannya,   juga  menyatakan kesyukuran dan merakamkan ucapan ribuan terimakasihnya  kepada semua umat di kampung Pahu dan kesemua umat di Paroki Bundu Tuhan pada amnya, atas sokongan dan kerjasama yang telah diberikan kepada beliau dalam tugas pelayanan selama ini.

 Menurutnya selama 8 tahun pelayanan diparoki itu, beliau sungguh bersyukur kepada Tuhan atas peluang  untuk menyaksikan perkembangan  umat  yang telah dibaptis sebagai Kristian Katolik.  Setiap tahun bilangan umat terus  meningkat. Berdasarkan  buku record pembaptisan pada tahun ini bilangan umat telah mencecah  lebih kurang 16,500 orang.  Penambahan umat dari tahun ke tahun memang suatu kegembiraan bagi beliau kerana semuanya merupakan berkat Tuhan dalam Paroki.  Semoga iman umat  di paroki itu akan terus terpelihara dan bertumbuh menghasilkan buah buah rohani  di masa yang akan datang, tambahnya lagi.

Penyampaian cenderakenangan dan penghargaan kepada orang-orang tertentu menyusul selepas segala ucapan. Misa Kudus selesai dalam sekitar jam 12 tenghari. Majlis sosial menyusul  dengan pemotongan kek perasmian dan jamuan kesyukuran  makan tenghari bersama-sama di luar gereja  sekaligus penganjuran  acara lain seperti persembahan pentas dan cabutan tiket bertuah telah memeriahkan lagi pemberkatan dan perasmian Chapel pada hari itu.

(Berdiri dari Kiri ke kanan: 3 Pelayan Altar, Fr. Micahel, Joannes Modingin (katekis St. Peter, Kg. Pahu), Joseph Akiu (Pengerusi MPP, Paroki Bundu Tuhan),Wakil Datuk Victor Paul, Marius Silipan (Pengerusi KPUK/Penganjur)

Walaupun waktu persiapaan hanya 2 minggu sahaja, puji Tuhan, secara  keseluruhannya  perasmian Chapel itu telah berjalan dengan lancar.  Syabas dan tahniah kepada  AJK penganjur dan semua kumpulan-kumpulan yang terlibat (Liga wanita, Koir, dll) yang  telah  bekerja keras, mempersiapkan dan menjayakan segala program gereja pada hari tersebut.  Tidak dilupakan kehadiran tiga orang pelayan altar untuk melayani dalam Misa Kudus sempena hari yang bersejarah itu. Kedatangan mereka (yang diatur khas oleh pengerusi MPP dari Pusat Paroki Bundu Tuhan) sememangnya telah menambahkan lagi suasana kesungguhan (solemn) dalam upacara pemberkatan dan perasmian Chapel St. Peter, Kg. Pahu.

Kampung Pahu ini terletak lebih kurang 7Km dari  Pekan Kiulu. Menurut  geografi  ia  berada di kawasan lembah Kiulu  dalam daerah Tuaran.  Namun di dalam pembahagian gereja, ianya berada di bawah pengawasan Paroki Bundu Tuhan, Ranau.

Untuk keterangan lanjut sila baca Sejarah Ringkas Chapel St. Peter Kg. Pahu

Sejarah Ringkas Chapel St. Peter Kampung Pahu Kiulu, Paroki Bundu Tuhan

Penyebaran agama katolik di kampung Pahu bermula pada sekitar tahun 1960an yang mana kebanyakan penduduk di sana masih belum  beragama (pagan). Pada masa itu hanya tiga buah keluarga saja yang mula memeluk agama katolik iaitu keluarga mendiang Peter Agus Gambak, keluarga Veronica Kondupot dan keluarga Dominic Kombiong. Pada masa itu tiada tempat untuk beribadat setiap minggu maka mereka terpaksa berulang alik ke kampung Sinulihan setiap hari minggu.   

Setelah beberapa lama mereka tidak lagi sanggup berulang alik ke kampung Sinulihan dan mereka telah berbincang dan memilih rumah kediaman saudara Peter Agus sebagai tempat beribadat setiap hari minggu dan digunakan selama beberapa tahun. Rumah inilah tempat beribidat semasa lawatan Paderi  pada masa itu. Saudara Peter Agus juga telah dipilih sebagai pemimpin sukarela setiap minggu. Oleh kerana pada masa itu ajaran katolik baru bermula maka untuk menyemarakkan iman katolik ditempat ini mendiang Katekis Philip Jumin selalu datang mengajar dan mulai dari sinilah umat semakin bertambah.

Setelah bilangan umat dari tahun ke tahun bertambah maka rumah tempat beribadat tersebut tidak lagi dapat menampung kerana ruangan terlalu sempit, maka mereka mulailah berbincang untuk mendirikan rumah ibadat yang baru. Berkat kerjasama dari semua umat dan bantuan atap zink daripada pusat paroki semasa mendiang Rev. Fr. Augustine Amandus menolong membekal atap zink maka terbinalah rumah ibadat yang kecil beratapkan zink dan berdindingkan bamboo, perkakas yang lain adalah kayu bulat serta berlantaikan tanah yang dialaskan dengan bamboo. Bangunan tersebut telah digunakan selama lebih dua puluh tahun.

Pada tahun 1991 chapel tersebut telah diperbaharui dengan peruntukan sebanyak RM15,000.00 daripada kerajaan, maka chapel yang hanya berkeluasaan 38 X 20 telah siap dibina, dengan keluasan demikian agak sempit juga dan tidak dapat menampung umat yang hadir terutama dalam musim perayaan seperti krismas dan perayaan-perayaan yang lain, maka umat berkeinginan supaya sebuah chapel yang besar dapat dibina. Syukur dan puji Tuhan diatas berkat dan cinta kasihNya kami telah mendapat bangunan rumah ibadat yang baru ini.

Sepanjang gereja bertumbuh dan berkembang para pemimpin atau katekis juga silih berganti memimpin terutama pada sekitar tahun 1960an – 1970an antaranya ialah mendiang Peter Agus, Puan Mariana Timah Kinsoi, Saudara Morris Amin, Puan Suzana Soulin, mereka ini adalah pemimpin sukarela pada masa itu untuk meneruskan ajaran iman katolik.

Pada 1/10/1982 – 14/11/1982 Joannes Modingin telah mengikuti kursus di PUSKAT Keningau selama 6 minggu maka beliau mulalah melayani sebagai Katekis bermula akhir tahun 1982 hingga sekarang dan pernah dibantu oleh mendiang Katekis Francis Kinsoi dari tahun 1990 – 1998 dan juga dua katekis sukarela iaitu saudara Justin Sodingki dan saudara Henry Silipan.

Katekis Joannes Modingin memberi komuni kepada salah seorang umat
sewaktu perasmian Chapel St. Peter

Sejarah Pemberian Nama St. Peter Kampung Pahu

Pada masa Rev. Fr. David Sham bertugas sebagai Paderi Paroki Bundu Tuhan, beliau telah mengarah bahawa setiap chapel yang belum ada nama harus diberi nama Santo sebagi penaung dan secara kebetulan chapel yang baru dibina dalam tahun 1991 belum ada nama maka dengan persetujuan umat chapel ini telah diberi nama ST. PETER sempena mengenang pengorbanan saudara Peter Agus yang telah melayani sejak dari rumahnya tempat beribadat hingga dia berhenti sebagai katekis. Tetapi juga nama tersebut dikaitkan dengan pesta takhta suci Santo Petrus yang dirayakan setiap 22 Februari setiap tahun.

Pesta takhta suci Santo Petrus ini ialah untuk menghormati Petrus sebagai wakil Kristus dan gembala tertinggi gereja yang mempunyai kuasa rohani atas segenap anggota gereja dan semua gereja setempat. Kuasa Petrus ini yang lazim disebut Primat Petrus diberikan langsung oleh Yesus sebelum kenaikanNya ke sorga (Yoh 21:15-19)

Oleh: Sr. Bibianah T.Densia,fsp, Sumber: Katekis Joannes Modingin

Back To Top