Skip to content

Belia Misionaris Katolik: Hidup adalah sebuah misi

Diolah oleh: Girald Palipus

TELUPID – Program Belia Misionaris Katolik atau lebih dikenali sebagai BMK telah dianjurkan pada 26-28 Okt 2018 di Kg Mangkadait, di sini. Berikut merupakan perkongsian dari beberapa peserta yang mengikuti program ini.

Testimony

Renung penderitaan Yesus dalam Via Dolorosa

Wendy Tony

SEPANJANG program BMK ini saya telah tersentuh dalam sesi Jalan Salib (Via Dolorosa). Saya dapat menghayati penderitaan Yesus Kristus selain daripada dapat merenungi perjalanan iman diri saya dengan lebih dalam lagi. 

Semasa Jalan Salib kami diminta untuk berjalan secara berpasangan untuk lebih fokus dalam renungan di setiap perhentian. Dalam masa yang sama, kami akan berkongsi setiap renungan yang kami buat dengan pasangan Jalan Salib kami dan pada masa itulah saya dapat mengingati bagaimanakah perjalanan iman Katolik saya.

Oleh kerana bapa saya dari denominasi Gereja Basel maka saya telah dibaptis dalam Gereja Basel. Namun sejak dari kanak-kanak lagi saya telah dididik dalam ajaran Katolik oleh ibu saya kerana beliau adalah seorang Katolik. Sejak dari itu saya lebih berminat untuk mendalami ajaran Katolik walaupun saya masih dalam denominasi lain.

Sepanjang program juga saya dapat merasakan bantuan Roh Kudus di mana saya dapat memberikan fokus dan merenung diri dengan lebih dalam lagi pada setiap aktiviti. – Wendy Tony, Chapel St Emmanuel, Liningkung, Telupid

BMK ajar saya banyak perkara dalam iman

Welvin Binson

MENGIKUTI program BMK merupakan satu keputusan saya yang terbaik. Dalam program ini banyak yang telah saya pelajari dari kawan-kawan belia yang lain. Antaranya ialah mengenai erti kesabaran, kekuatan semangat diri dan juga untuk tidak mudah berputus asa jika menghadapi cabaran dalam iman.

Menonton video tentang perjuangan Fr John Lee (Fr Lee Tae Sok) menyentuh saya dan memberikan saya suatu misi baru iaitu membantu mereka yang lebih memerlukan tanpa mengira siapa pun mereka. Ia juga mengajar saya agar terus teguh dalam iman walaupun banyak cabaran yang mendatang.

Melihat kanak-kanak riang dan aktif di Kg Mangkadait turut menjadi inspirasi saya agar terus melayani dan menjadi teladan yang baik kepada mereka.

Harapan saya ialah agar program sebegini masih dianjurkan dan diluaskan, mungkin boleh menjangkau di kampung saya pada masa akan datang. – Welvin Binson, Chapel St Fedelis, Kiabau, Telupid

Misi – angkat guni berisi padi melintasi jambatan gantung

Clement S Linus

DALAM program BMK ini saya dapat merasai suasana perkampungan yang tenang, lebih-lebih lagi dapat tinggal bersama keluarga angkat. Ini telah mengajar saya tentang erti hidup secara sederhana namun penuh kasih sayang. Saya juga berpeluang untuk mengenali ramai rakan baru yang seiman dalam Kristus. 

Program ini tidak mempunyai sesi yang berat namun selepas sesi Jalan Salib kami mempunyai misi di mana kami membantu umat di Kg Miruru mengangkat beberapa guni yang berisi padi. Perjalanan ke ladang tersebut memerlukan kami melintasi sebuah jambatan gantung yang panjang. Di sinilah timbul segala kerisauan dan keraguan terhadap diri saya untuk menjalankan misi ini.

Namun syukur puji Tuhan saya mampu menjalankan misi ini dengan baik tambahan lagi saya mendapat kekuatan dengan melihat kanak-kanak yang masih kecil pun mampu membantu orang tua mereka mengangkat guni padi sambil melintasi jambatan.

Tuaian memang banyak namun pekerjanya sedikit, begitulah misi ini mengingatkan saya untuk terus berkerja di ladang Tuhan. – Clement Simeon Linus, Katedral St Mary, Sandakan

Belajar semangat misi dari perjuangan Fr Jolly

Ivysia

PROGRAM BMK ini merupakan program yang julung-julung kalinya diadakan di kampung saya sendiri iaitu Kampung Mengkadait. Ini juga adalah program pertama yang saya ikuti dan ia memberikan impak yang sangat mendalam bagi saya dan saya yakin begitu juga kepada kawan-kawan sekampung dengan saya. 

Di sini saya telah belajar tentang hidup bahawa ia adalah satu misi dan tentang betapa pentingnya misi itu sendiri kepada belia. Selepas Jalan Salib dan misi membantu umat di Kg Miruru, pada malamnya kami telah ditayangkan video tentang perjalanan misi Fr John Lee (Fr Lee Tae Sok) atau lebih dikenali sebagai Fr Jolly.

Saya sangat tersentuh dengan perjuangan Fr Jolly yang sentiasa tersenyum dan tidak pernah mengeluh dalam misinya untuk menolong umat di Sudan, Afrika. Berbanding dengan diri saya sendiri, untuk melintas jambatan gantung sahaja pun sudah berasa penat dan mengeluh. 

Melalui tayangan video ini dan berkat bantuan kawan-kawan yang lain, saya berasa dikuatkan dan ingin meneruskan misi saya. Saya juga ingin membimbing kanak-kanak di kampung saya sendiri agar berjiwa misionaris. – Ivysia Lazarus, Chapel St John Fisher, Mengkadait, Telupid

Penderitaan ini amat kecil berbanding penderitaan Yesus

Daniel

SAYA berasa Tuhan memanggil saya untuk menyertai program ini kerana ingin menguatkan iman saya dan juga lebih bergiat aktif dalam pelayanan saya sendiri. Antara pengalaman yang saya perolehi adalah saya dapat memasuki chapel di kawasan pedalaman dan dapat membantu umat-umat di sana dengan mengongsikan cinta kasih Tuhan.

Memikul misi sebagai belia Katolik turut menjadi suatu pengalaman yang amat bermakna di mana saya dilatih untuk menjadi seorang yang tabah dan berjiwa misionaris.

Saya sangat tersentuh semasa perjalanan selepas Jalan Salib ke Kg Miruru dalam perjalanan ke sawah padi. Ketika itu bahang panas mentari sangat terasa, saya dan kawan-kawan belia yang lain berasa sangat haus. Di lorong laluan tersebut ada sebuah paip air bagi kegunaan umat di sana dan ianya bocor sedikit.

Kami menghilangkan dahaga dengan meminum air dari paip yang bocor tersebut, dan di sana saya terimbas kembali di mana Yesus yang disalib juga kehausan dan telah diberi minum cuka. Mengingati kesengsaraan Yesus, terasa amat kecil lagi penderitaan yang saya rasakan ini. – Daniel Hendricus, Gereja St Martin, Telupid

This Post Has One Comment

  1. Setelah membaca pengalaman mereka yang masuk ke kampung pendalaman sejujurnya saya sangat bersyukur kepada Tuhan kerana memberi peluang anak2 Tuhan untuk merasakan kehidupan para Belia pendalaman dan merasakan kehadiran Tuhan Yesus..Semoga program ini Diteruskan lagi untuk menjangkau Para Belia merenung peribadi masing-masing dan mengkongsikan pengalaman mereka Bersama Yesus..Saya secara peribadi tersentuh dan Diberkati perkongsian mereka..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back To Top