TERAWI – Seramai 40 kanak-kanak telah menerima Sakramen Pembaptisan pada…
COVID-19: Komiti Katekis St Peter Bundu beri sumbangan kasih kepada umat Kuala Penyu
KUALA PENYU – Komiti Katekis Paroki St Peter Bundu Kuala Penyu telah menganjurkan program khas bagi membantu umat yang terkesan oleh pandemik COVID-19 khususnya umat Katolik yang berada di sekitar daerah Kuala Penyu.
Semua sumbangan kasih yang berupa barangan asas dapur akan diagihkan kepada umat yang memerlukan pada 31 Mei ini.
Katekis Simon Masusih, Pengerusi Komiti, telah berbincang dengan Paderi Paroki untuk kebenarannya melaksanakan program tersebut sesuai dengan peranan utama Komiti Katekis sebagai pengantara gereja dengan umat.
Dalam surat yang diedarkan kepada semua ahli katekis, Katekis Simon memohon kerjasama dan keikhlasan hati untuk menghantar sumbangan mereka kepadanya atau kepada beberapa orang katekis yang telah diberi tanggungjawab dalam program tersebut. Sumbangan daripada umat yang bukan ahli katekis juga sangat dialu-alukan. Sehingga berita ini ditulis, sudah ada 17 kampit beras dan pelbagai barangan dapur telah dikumpulkan.
Fr Clement Abel, Paderi Paroki, bersama Fr Claudius Andrew gembira dengan usaha yang dilakukan oleh komiti tersebut. Mereka memberikan persetujuan dan sokongan serta berharap supaya usaha tersebut dijalankan dengan penuh keikhlasan oleh semua katekis demi kemuliaan Tuhan kerana pelayanan bukan hanya kepada aktiviti berdoa tetapi haruslah juga disertai dengan hati dan tangan yang memberi.
Para paderi juga berharap kepada umat yang menerima bantuan agar mereka semakin sedar bahawa gereja tidak pernah melupakan mereka dan mahu mereka terus bersemangat dalam hidup walaupun menghadapi musibah yang tidak pernah dijangka ini.
Katekis Simon yang berkongsi harapan dengan kedua-dua paderi, berharap bantuan tersebut selain dapat membantu keperluan umat; memberi mereka penghiburan, dan menyedari betapa umat sangat dekat di hati para katekis yang selama ini melayani mereka di gereja dan dalam setiap aktiviti samada di waktu gembira atau dalam kesusahan. – Marcus Angang
This Post Has 0 Comments